22 January 2013

Be Mine, My Maid? Episod 14



“HAFIZ ada cerita dekat Ris berkenaan dengan Mega?.” Tanya Tengku Jamil sebaik sahaja isteri dan menantunya hilang ke dapur.

“Ada pa. Pagi tadi abang ada beritahu Ris. Ris sebenarnya tak sangka Tan Sri Azman tu sampai berani lesapkan duit syarikat.” Ujar Tengku Haris. Tengku Jamil tersenyum.

“Papa kenal Tan Sri Azman dah lama Ris. Hampir 8 tahun. Dia lah yang bawa papa masuk ke dalam Mega ketika Mega mula bertukar pentadbiran dulu.  Mega Jaya dulu taklah berkembang macam sekarang. Dan ketika papa baru beli saham di Mega, Tan Sri bukanlah pemegang saham terbesar Mega. Kalau Ris nak tahu, Mega Jaya bermula hanya dengan 2 orang partner. Bila salah seorang partner Mega ketika itu meninggal dan 50% saham yang dipegang terpaksa dijual pada orang luar. Sebab itulah Mega sekarang ada beberapa orang pemegang saham.” Terang Tengku Jamil panjang lebar.

Tengku Haris memandang isteri dan Bonda yang baharu sahaja menyertai mereka diruang tamu.  Dulang berisi gelas diletak di atas meja.

“Siapa pula pemegang saham terbesar selepas tu Papa?” Soal Tengku Haris dengan penuh minat. NurAlia ketawa melihat Engku Maryam seperti tidak berminat mendengar topik perbualan suami dan anak lelakinya itu.

“ Jom Lia kita borak kat dapur. Dua beranak ni kalau dah bukak cerita pasal bisnes, memang susah nak berhenti.” Ajak Engku Maryam. NurAlia tersenyum. Akur. Tengku Jamil dan anak lelakinya ketawa kecil.

“Entahlah Ris. Papa pun dah lupa. Semasa papa join Mega Jaya dulu pun, Mega diuruskan oleh anak perempuan founder Mega.” Jawab Tengku Jamil.

NurAlia tersentak. Nama Mega Jaya yang baru disebut oleh bapa mertuanya mematikan langkahnya. ‘Apa kaitan papa dengan Mega?’ NurAlia mengerutkan dahinya. Langkah diatur kembali mendapatkan ibu mertuanya didapur.

Tengku Haris tidak menyangka Mega Jaya yang kini berdiri megah mempunyai sejarahnya tersendiri. Sepatutnya syarikat itu perlu dipertahankan.  Daripada bercerita tentang Mega Jaya  mereka beralih pula tentang Red Properties Consultation yang sedang dikendalikan oleh Tengku Haris kini.

Engku Maryam dan NurAlia sudah naik ke bilik ketika dua beranak itu rancak berbual soal perniagaan.
NurAlia melangkah perlahan menuju ke katil yang seperti sudah memanggilnya untuk beradu. Belum pun sempat dia merebahkan badannya, pintu bilik dibuka dari luar. NurAlia cepat-cepat membetulkan duduknya.

Tengku Haris menutup kembali daun pintu bilik. NurAlia yang sedang duduk bersimpuh diatas katil dipandangnya. Lalu dia menguntum senyuman manis kepada isterinya. Lantas dia menghampiri isterinya. NurAlia menahan debaran didadanya. Melihat Tengku Haris yang tersenyum penuh makna membuatkan dia menjadi kecut. Sesungguhnya dia belum lagi bersedia untuk itu kerana dia merasakan seperti ada sesuatu diantara mereka masih belum terungkai.

Tengku Haris sengaja melabuhkan punggungnya disebelah NurAlia yang sudah kelihatan resah itu. Segera dia menggenggam kedua belah tangan isterinya. Lalu wajah manis isterinya ditatap lembut.

“Sayang....” Panggil Tengku Haris lembut.

NurAlia memberanikan diri untuk membalas renungan suaminya. Sengaja panggilan itu tidak disahutnya.
“Kali ni abang tak akan memaksa atau mendesak Lia untuk terima abang sepenuhnya sebagai suami Lia. Cuma abang nak Lia tahu bahawa hati abang tak akan berubah untuk isteri abang ni.” Luah Tengku Haris panjang lebar.

NurAlia menunduk. Jauh disudut hati, dia bagaikan berbunga riang apabila mendengar luahan suaminya itu.  Bibirnya bagaikan dikunci untuk meluahkan perasaannya ketika itu.

“Abang tetap akan tunggu sayang.” Kata-kata itu bagaikan janjinya buat isterinya tika itu. Genggaman tangan segera dilepaskan. Belum sempat dia ingin turun dari katil, tangannya dicapai NurAlia. Tangannya dikucup lembut.

“Lia minta maaf. Tak sepatutnya Lia buat abang macam ni.” Ucap NurAlia perlahan. Sepasang mata milik suaminya ditatap penuh kasih. Tengku Haris mengusap ubun-ubun isterinya sambil mengucap syukur. NurAlia menguntum senyuman penuh makna. Bagaikan mengerti, Tengku Haris bingkas turun dari katil menutup suis lampu bilik.

Akhirnya bahagia kini menjadi milik mereka.

TENGKU Haris menguntum senyuman apabila wajah manis isterinya terlayar diruang matanya. Kehidupan mereka bagaikan saling melengkapi kini. Sudah genap seminggu mereka menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri dalam erti kata yang sebenar. 

2 keping tiket kapal terbang dipandang sambil tersenyum. Terbayang reaksi isterinya tatkala diberitahu tentang rancangannya itu. Jam dipergelangan tangan dikerling seketika. Terasa bagaikan waktu bergerak perlahan. Tengku Haris kembali menyambung kerjanya.

Ketukan pintu bilik pejabatnya sedikit mengganggu konsentrasinya seketika. Nancy yang baru sahaja muncul itu dipandangnya.

“Yes, ada apa Nancy?” Soal Tengku Haris. Nancy meletakkan surat yang bersampul putih dihadapan ketuanya itu. Tengku Haris mengerutkan dahinya. Lantas dia membuka surat tersebut. Sebaik sahaja membaca isi kandungan surat tersebut, Tengku Haris kembali melipat surat tersebut.

“You tolong sediakan dokumen yang patut untuk I bawa bersama ke mesyuarat di Mega esok. Oh ya, you tolong kumpulkan dokumen yang perlu I periksa sebelum I mula bercuti next week. I tak nak diganggu once I dah start bercuti nanti.” Arah Tengku Haris.

“Baik Boss. Kalau tak ada apa-apa lagi, I keluar dulu.” Ujar Nancy.

“Before 5:00 pm you hantar dokumen tu. Mungkin I ke Mega terus pagi esok.”

“Baik Boss.”

“You boleh keluar sekarang.” Arah Tengku Haris. Nancy mengangguk dan terus mengatur langkah keluar. 

Tengku Haris kembali menyambung kerjanya  sebaik sahaja setiausahanya itu keluar.  Beberapa minit 
kemudian, setiausahanya muncul dengan beberapa dokumen penting yang dimintanya sebentar tadi. Tepat jam 5:00 petang Tengku Haris bersiap untuk pulang ke rumah. Dia bagaikan tidak sabar untuk pulang menemui isterinya.


NURALIA membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh peguamnya. Mesyuarat tergempar yang akan diadakan di Mega Jaya pada esok pagi sedikit sebanyak mengejutkan dirinya. Peguamnya meminta dirinya untuk hadir ke mesyuarat tersebut memandang dia adalah salah seorang pemegang saham Mega Jaya kini.
Otaknya kembali terimbau perbualan antara suami dan bapa mertuanya tempoh hari. Dua beranak itu bagaikan ada kaitan dengan Mega Jaya.

‘Nak pergi ke? Kang tak pasal-pasal terserempak dengan Haris dekat sana. Tak ke mati aku?’ NurAlia mengeluh. Tiba-tiba dia mendapat idea. Sepantas kilat dia membalas SMS itu. Selang beberapa minit sahaja peguamnya sudah membalas SMS darinya. NurAlia tersenyum lega.

“SAYANG, abang ada surprise untuk sayang.” Ujar Tengku Haris ketika mereka sedang menonton tv selepas makan malam. Dengan penuh minat NurAlia memandang suaminya. Tengku Haris tersenyum. Dia mencapai briefcase lalu dua keping tiket yang tersimpan kemas didalam briefcase dikeluarkan. Lalu dia menghulurkan tiket itu kepada isterinya yang setia menunggu itu.

NurAlia ternganga apabila membaca butiran tiket itu. “Phuket? Honeymoon?” Soal NurAlia sedikit menjerit bagaikan tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Tengku Haris ketawa melihat reaksi isterinya yang terlopong bagaikan tidak percaya itu.

“Sejak kita kahwin, abang tak bawa sayang honeymoon kan? Lagipun abang kesian dekat sayang. Hari-hari duduk rumah je.” Ujar Tengku Haris sambil mengusap rambut isterinya. NurAlia menguntum senyuman manis. Satu kucupan mesra hinggap dipipi kanan suaminya. Tengku Haris mengukir senyuman. Bahagia.

“Sayang, abang nak tanya sesuatu boleh?” Tanya Tengku Haris. NurAlia membalas renungan suaminya itu.

“Kenapa Lia tak pernah cerita dekat abang tentang keluarga Lia?” Soal Tengku Haris tiba-tiba. NurAlia tergamam seketika.

“Tak ada yang menarik tentang keluarga Lia, bang.” Jawab NurAlia sedikit mengelak untuk bercerita. Pandangannya diarah pada televisyen. Tengku Haris memalingkan wajah NurAlia supaya memandangnya.

“Cerita dekat abang. Abang perlu tahu.” Ujar Tengku Haris berbaur tegas. NurAlia menatap wajah suaminya dalam. ‘Sampai bila aku nak sorok latar belakang aku? Dia suami aku. Dia berhak untuk tahu segalanya. Tapi...tidak tentang Mega.’ Bisiknya didalam hati. Dahi suaminya yang berkerut itu dipicit lembut sambil tersenyum.

“Okay. Apa yang abang nak Lia ceritakan?” Tanya NurAlia cuba menarik tali. Tengku Haris memicit hidung isterinya geram.

“Tentang Arwah mama, ayah.” Jawab Tengku Haris.

“Arwah Mama meninggal beberapa bulan sebelum Lia kerja dengan keluarga abang. Sejak Lia kecil, Lia tak pernah kenal siapa ayah Lia yang sebenar. Arwah Mama tak pernah bercerita tentang ayah. Selepas Mama meninggal, Lia dihalau oleh ayah tiri Lia. Nasib Lia baik sebab Allah temukan Lia dengan Tuan Karim. Kalau tak kerana Tuan Karim, mungkin Lia tak akan jumpa suami Lia ni.” Jawab NurAlia panjang lebar.

“Sebelum kita bertolak ke Phuket, Lia bawa abang melawat kubur Arwah Mama.” Ujar Tengku Haris. NurAlia mengangguk cuma.  Terasa rindu terhadap Arwah Mamanya mula menyelinap ke jiwanya.

JAM 11:45 pagi NurAlia mendapat panggilan daripada peguamnya yang baru sahaja selesai menghadiri mesyurat tergempar di Mega Jaya sebagai wakil kepada NurAlia. Sebaik sahaja dia menghubungi suaminya, NurAlia terus bersiap untuk ke pejabat peguamnya. Dia bernasib baik kerana suaminya tidak akan pulang untuk makan tengahari dirumah.

Setibanya di pejabat peguamnya, NurAlia terus mengatur langkah menuju ke meja pembantu Encik Hakim yang terletak disebelah bilik lelaki itu. Belum sempat dia bersuara, pintu bilik Encik Hakim telah dibuka dari dalam.

“Dah sampai pun you, Alia. Come in.” Tegur Encik Hakim seraya melihat NurAlia yang sedikit terkejut itu.  NurAlia akur lalu melangkah masuk ke dalam bilik peguamnya itu. Sebelum pintu bilik itu ditutup oleh Encik  Hakim, sempat lelaki itu mengarahkan pembantunya membancuh 2 cawan teh.

“So, you nak I mulakan cerita dari mana ni?” Tanya Encik Hakim sebaik sahaja pintu biliknya ditutup. NurAlia yang tersenyum.

“From the start, of course.” Jawab NurAlia sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk bilik pejabat itu. Encik Hakim tertawa kecil. Lantas dia mengambil sebuah fail yang tertera nama NurAlia lalu dihulur kepada NurAlia.

“Itu dokumen yang mengesahkan you sebagai salah seorang pemegang saham Mega Jaya. You semaklah apa yang patut. Dokumen ni disimpan sejak Arwah Mama you letakkan nama you sebagai salah seorang pemegang saham Mega lagi.” Ujar Encik Hakim perlahan.

NurAlia meneliti satu persatu helaian didalam fail tersebut. Beberapa minit kemudian, pembantu Encik Hakim muncul dengan 2 cawan teh. Sebaik sahaja pembantu Encik Hakim keluar dari bilik itu, barulah NurAlia bersuara.

“So, apa yang terjadi dalam meeting tadi?” Akhirnya soalan itu terkeluar jua dari bibir NurAlia. Itulah tujuan sebenarnya.

Encik Hakim terus memandang NurAlia yang baru sahaja menutup fail ditangannya. Lantas dia mengatur langkah menghampiri sofa disebelah NurAlia.

“Erm.. Tan Sri Azman dah diisytihar bankrup dan semua saham dia akan dijual oleh kerana dia tidak mampu membayar balik duit syarikat yang dia lenyapkan.” Jawab Encik Hakim tenang. NurAlia membuka matanya apabila mendengar jawapan yang keluar dari bibir peguamnya itu.

“Perlantikan CEO baru untuk Mega hanya akan diumukan once dah ada pemegang saham terbesar yang baru. Daripada meeting tadi, I tengok ada yang berminat untuk membeli saham tu. I nasihatkan kalau you betul-betul nak dapatkan kembali Mega Jaya, this is the only way.” Ujar Encik Hakim lagi.

NurAlia memandang lelaki disebelahnya itu. “You really have to help me. Tolong uruskan urusan jual beli saham ni.” Pinta NurAlia perlahan.

“You tak perlu risaulah. I akan bantu you dapatkan Mega. Lagipun I dah janji kan?” Jawab Encik Hakim. Jawapan Lelaki itu membuatkan NurAlia menarik nafas lega.

“Thanks Encik Hakim. I tak tahulah nak harapkan siapa lagi kalau bukan you.”

“Panggil I Hakim cukuplah Lia. Tak perlu nak ber’encik’ lagi dengan I.” Ujar Encik Hakim lagi.

NurAlia tersenyum. Hampir setahun dia mengenali lelaki ini. Tidak pernah dia mendengar Arwah Mamanya mengadu perkara negatif tentang lelaki disebelahnya. Mungkin oleh kerana itulah, lelaki itu menjadi orang kepercayaannya sehingga kini.

“Oh ya Lia, tak salah I dalam meeting pagi tadi, suami you pun ada sekali. Mungkin wakilkan bapa mertua you.” Ujar Encik Hakim. NurAlia tertunduk. Encik Hakim mengerutkan dahinya.

“Let me guess, dia tak tahu tentang semua ni? Dan dia tak tahu you ada kaitan dengan Mega?” Teka Encik Hakim. NurAlia hanya menggeleng kepala.

“Macam mana you nak berdepan dengan mereka nanti?” Soal lelaki itu lagi. NurAlia mengeluh perlahan.

“I don’t know. I pun tak sangka keluarga suami I ada kaitan dengan Mega. You pun tahu I tak boleh undur diri daripada Mega, Hakim.” Balas NurAlia menahan sebak didada. Encik Hakim memicit dahinya.

“Tak apalah. I akan cuba tolong apa yang patut. Anything, you can count on me.” Ujar Encik Hakim yakin. NurAlia menguntum senyuman.

“Thanks, Hakim.” Balas NurAlia perlahan. Dia sendiri takut untuk membayangkan hari itu tiba. Jauh disudut hati dia memanjat doa agar melindungi rumahtangganya.                                 

11 January 2013

Be Mine, My Maid? Episode 13



NURALIA terjaga dari lenanya ketika jam didinding bilik Tengku Haris menunjukkan pukul 6:05 pagi. Tangan Tengku Haris yang berada diatas perutnya cuba dialihkan. Lelaki itu membuka matanya apabila terasa lengannya dialihkan. NurAlia memandang Tengku Haris yang sudah terjaga itu.

“Sorry buat awak terjaga. Lia nak bersiap solat Subuh.” Ujar NurAlia perlahan. Tengku Haris yang masih mamai itu cuma mengangguk dan menutup matanya kembali. Lantas NurAlia turun dari katil lalu menuju ke bilik air bersama tuala dan baju bersih.

Pintu bilik air ditutup rapat. Matanya membuntang ke arah sebatang tubuh yang masih lagi lena diatas katil. Telekung yang diletakkan diatas rak disebelah almari pakaian dicapai lalu disarung ke badan.

Selepas mengaminkan doa, NurAlia memusingkan badannya menghadap katil dimana suaminya masih lagi terlena. NurAlia menggeleng kepala. Lantas dia menanggalkan telekung yang masih terlekat dibadannya dan diletakkan kembali di rak. Kakinya diatur kemas menghampiri katil. Tanpa ragu-ragu NurAlia cuba menepuk lengan lelaki itu. Hanya beberapa kali cuma, lelaki itu memisat-misat kedua belah matanya.

“Awak, tak nak bangun lagi ke? Dah pukul berapa ni.” Rungut NurAlia. Tengku Haris memandang NurAlia yang sedang mencekak pinggang.

“Dah pukul berapa?” Tanya Tengku Haris.

“Dah dekat pukul 6:30 pagi dah awak. Bangun lah cepat. Nanti terbabas kang. Saya nak turun siapkan sarapan.” Jawab NurAlia sambil menarik lengan lelaki itu supaya turun dari katil. Tengku Haris tersengih. Senang diperlaku begitu. NurAlia memandang Tengku Haris yang sedang menayang gigi dihadapannya.

“Tersengih dengan muka baru bangun tidur macam tu, dah macam orang tak betul saya tengok.” Ujar NurAlia selamba.

“Tak betul macam ni pun orang tu sayang.” Balas Tengku Haris lalu meluru ke bilik air.
NurAlia menelan liur. ‘Eh...dia dengar ke? Alamak! Malunya aku.’ NurAlia meletak tangannya didahi. ‘Nak malu apanya. Dia bukan orang lain pun. Suami aku jugak.’ Kakinya diatur menuju ke almari pakaian milik Tengku Haris. Pintu gelongsor almari ditolak perlahan. Matanya terarah pada kemeja-kemeja yang tergantung didalam almari itu.

Kemeja pejabat berwarna putih dan seluar slack hitam berserta tie berwarna ungu terang ditarik keluar dari almari pakaian itu. Sengaja dia meletakkan pakaian dipilihnya itu diatas katil. Kemudian cepat-cepat dia meluru keluar dari bilik itu.  

Tepat jam 6:50 pagi Tengku Haris sudah muncul didapur dengan kemas berpakaian. NurAlia terpegun melihat ketampanan suaminya pagi itu. Tengku Haris menguntum senyuman sambil tangannya bermain-main dengan tie dileher.

NurAlia membalas senyuman itu penuh makna. Pinggan berisi roti bakar dibawa ke ruang makan diikuti dengan Tengku Haris dibelakangnya. Briefcase yang digalas dibahu sengaja diletakkan diatas kerusi bersebelahan dengannya.   

“Maaflah, roti bakar aje yang saya boleh sediakan untuk awak pagi ni. Baru perasan banyak stok makanan dah tak ada.” Ujar NurAlia sambil menuang air teh ke dalam cawan.

“Ini pun dah cukup. It’s okay. Nanti awak senaraikan barang-barang yang nak dibeli, tengahari nanti In shaa Allah saya datang ambil awak. Kita pergi mall sama-sama.” Ujar Tengku Haris. NurAlia mengangguk.

“Awak nak saya sapukan jem untuk awak atau awak nak buat sendiri?” Tanya NurAlia yang baru sahaja melabuhkan punggung bertentangan dengan suaminya itu.

“Kalau ‘sayang’ yang tolong sapukan lagi aa..bang selera nak makan.” Balas Tengku Haris yang sengaja menekankan perkataan sayang dan abang. NurAlia mencebik. Tengku Haris ketawa lalu mengenyitkan matanya.

“Mengadalah awak ni. Ber’abang’ pula pagi ni.” Rungut NurAlia. Pura-pura marah. Hatinya sedikit kembang apabila mendengar panggilan yang dibahasakan Tengku Haris sebentar tadi. Tengku Haris yang ketawa itu dijeling. Sekeping roti yang sudah disapu jem diletakkan ke dalam pinggan Tengku Haris. Tidak menunggu lama, lelaki itu terus menyuap roti itu ke dalam mulutnya.

Sebaik sahaja selesai bersarapan, Tengku Haris tidak menunggu lama untuk ke pejabat. Sebaik sahaja siap menyarung kasut, telefon bimbit milik Tengku Haris berlagu riang. Lantas lelaki itu menjawab panggilan tersebut lalu melangkah menuju ke kereta sambil membimbit briefcase.

NurAlia terkedu. Baru sahaja ingin melangkah masuk, namanya dipanggil Tengku Haris. NurAlia memusingkan badannya kembali. Lalu tangannya digenggam Tengku Haris. Lelaki itu merapatkan bibirnya ke dahi NurAlia. Kemudian NurAlia mengucup lembut tangan suaminya itu.

“Sorry, er... abang lupa. Abang pergi dulu ya sayang.” Ujar Tengku Haris selamba. NurAlia hanya mampu tersenyum. Hatinya berbunga riang. Matanya menghantar pemergian suaminya itu. Apabila kereta lelaki itu tidak lagi kelihatan, NurAlia menutup rapat pintu utama lalu menjalankan rutin hariannya seperti biasa.

TENGKU Haris meneliti kertas kerja yang telah disiapkan oleh Nancy, setiausahanya. Setelah berpuas hati, barulah dia menandatangani kertas kerja itu. Kemudian, butang interkom disisinya ditekan lalu dia mengarahkan setiausahanya itu masuk. Tidak lama kemudian Nancy muncul bersama sebuah fail.

“You tolong hantar dokumen ni pada Pengarah Urusan. I dah periksa apa yang patut dan I dah approve. Anything, just let me know.” Arah Tengku Haris sambil memandang skrin telefon bimbitnya. Nancy meletakkan fail yang dibawanya diatas meja ketuanya lalu dia mencapai dokumen yang perlu dihantar kepada Pengarah Urusan syarikat.

“Bila I minta you bawakan fail Mega ni?” Soal Tengku Haris hairan. Tidak pula dia mengarahkan wanita tinggi lampai dihadapannya membawa fail tersebut. Nancy membetulkan rambutnya.

“Erm... Tengku Hafiz minta I berikan fail Mega pada Tengku few minutes sebelum Tengku panggil I.” Terang Nancy sambil menolak fail yang bertanda Mega Jaya Sdn. Bhd itu. Tengku Haris menganggukkan kepalanya mendengar penjelasan daripada pembantunya itu.

“Tak mengapalah. Nanti I contact Tengku Hafiz directly. You may go now.” Ujar Tengku Haris yang sudah mula membuka fail tersebut.

“Baiklah Boss. I keluar dulu.” Ujar Nancy perlahan. Baru sahaja tangannya memulas tombol pintu, Tengku Haris memanggil namanya.

“By the way, you tolong kosongkan jadual I after lunch. Semua appointment, tangguhkan esok.” Ujar Tengku Haris tegas.

“Baiklah. Ada apa-apa lagi Boss?” Soal Nancy sambil tersengih.

Tengku Haris menggeleng. Lalu memberi isyarat supaya pembantunya keluar. Tengku Haris membuka helaian pertama fail yang dihantar oleh pembantunya sebentar tadi. Lantas dia mengambil keputusan untuk ke bilik abangnya, Tengku Hafiz.

TENGKU Hafiz memandang Tengku Haris yang baru sahaja melabuhkan punggung dihadapannya.

“What’s up?” Tanya Tengku Hafiz. Sejurus itu, Tengku Haris meletakkan fail yang dibawanya itu diatas meja Tengku Hafiz. Tengku Hafiz ketawa kecil apabila melihat fail itu.

“Abang nak Ris buat apa dengan fail ni?” Soal Tengku Haris sambil memerhati abangnya itu.

“Lupa pula abang. Papa ada beritahu abang pagi tadi tentang krisis di Mega. Bulan depan mungkin mesyuarat tergempar akan diadakan di Mega. Tan Sri Azman akan diisytihar bankrup kerana dia tidak mampu bayar balik wang syarikat yang dia lenyapkan tu. Dan semua saham yang dia ada dalam Mega akan dijual kepada Ahli Lembaga Pengarah atau orang luar.” Terang Tengku Hafiz panjang lebar.

Tengku Haris mengerutkan dahinya. “Habis, apa kaitan dengan Ris pula?” Soal Tengku Haris yang masih keliru.

Tengku Hafiz tersenyum seketika.

“Ris, antara Ris dengan abang... Rislah yang lebih berpengalaman dalam urusan berkaitan dengan Mega. Jadi, Papa minta Ris wakilkan Papa pada hari mesyuarat tu nanti.” Jawab Tengku Hafiz tenang.

“So, mungkin ini peluang abang untuk jadi salah seorang pemegang saham Mega?” Usik Tengku Haris. Tengku Hafiz ketawa.

“In Shaa Allah. Kalau kena dengan harga yang ditawarkan, abang ngap.” Balas Tengku Hafiz.
Mereka sama-sama ketawa akhirnya. Tengku Haris mengerling jam tangannya seketika.

“Lunch time pun belum lagi dah sibuk tengok jam? Tak sabar nak balik nampak.” Usik Tengku Hafiz sambil matanya terarah pada skrin laptop.

“Of courselah. Kalau ikutkan hati ni, dengan Alia sekali Ris nak bawa datang pejabat tahu?” Balas Tengku Haris selamba. Tengku Hafiz ketawa mendengar kata-kata adiknya itu.

“Dulu bukan cakap dia bukan taste Ris kan? Tengok, bila dah kahwin nak berenggang pun susah. Eh, Ris tak bawa Lia pergi honeymoon ke? Tak silap abang, 2 hari lepas kahwin Ris terus masuk pejabat kan?”
Tengku Haris mengangguk. Dia diam sejenak.

‘Macam mana nak fikir pasal honeymoon abang oii, adik kau kahwin dalam terpaksa. Tapi sekarang dah lain.’ Tengku Haris tersenyum. Otaknya bagaikan dapat membayangkan sesuatu. Tengku Hafiz mengerutkan dahi melihat adiknya yang tiba-tiba tersenyum.

“Hoii... dah sampai mana?” Sergah Tengku Hafiz.

Tengku Haris ketawa. “Dahlah, Ris nak keluar dulu. Lepas lunch Ris tak masuk pejabat. Anything, call me.” Ujar Tengku Haris sambil mengangkat punggung dari kerusi empuk itu. Tengku Hafiz menggeleng kepala mendengar kata-kata adiknya itu.

“Ada appointment kat luar ke hari ni? Or dating dengan isteri tersayang?” Usik Tengku Hafiz lagi.

“Ris ada date dengan Lia nak pergi shopping groceries.” Jawab Tengku Haris selamba. Lalu dia melangkah keluar dari bilik pejabat Tengku Hafiz.

SEBAIK sahaja selesai membeli barang keperluan dapur,  mereka mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah apabila mendapat panggilan daripada Tengku Jamil yang ingin ke rumah mereka. Kereta yang dipandu Tengku Haris meluncur laju menuju ke kediaman mereka.

NurAlia diam seribu bahasa ketika mereka didalam perjalanan pulang. Tengku Haris memandang isterinya sekilas.

“Alia....” Panggil Tengku Haris lembut.

“Hmmm....”

“Erm... apa kata kita pergi honeymoon? Sayang Cakap aje nak pergi mana.” Ujar Tengku Haris sedikit teruja.

NurAlia terlopong apabila kata-kata Tengku Haris menampar telinganya.

“Abang nak kita lupakan tentang kontrak kita dan Lia cuba buang tembok yang ada antara kita.” Ujar Tengku Haris sambil memandu. NurAlia memandang Tengku Haris disebelahnya.

“Kenapa tiba-tiba???” Soal NurAlia berani. Sengaja ingin menduga lelaki disebelahnya. Tengku Haris tersenyum.

“Sebab abang dah mula yakin dengan perasaan kita. Abang tak nak kita membuang masa kita lagi.” Terang Tengku Haris sambil membelok keretanya masuk ke perkarangan kediaman mereka. NurAlia membisu. Tengku Haris merasa terseksa apabila tiada respon daripada gadis itu.

“Abang akan tunggu Lia.” Ujar Tengku Haris. Lalu dia meninggalkan NurAlia yang masih kaku didalam perut kereta.

SEJAK mereka tiba dirumah petang tadi, Tengku Haris langsung tidak banyak bercakap dengannya. Satu ditanya, satu dijawab lelaki itu.  Lelaki itu kelihatan begitu muram. Ligat otak  NurAlia memikirkan cara untuk menarik perhatian suaminya itu. Matanya memandang ke arah tangga. Kosong. Kedua mertuanya mungkin sedang berehat ditingkat atas. NurAlia tersenyum.

Kakinya diatur perlahan menuju ruang tamu dimana Tengku Haris sedang menonton televisyen. Bahu Tengku Haris dicuitnya. Namun lelaki itu hanya memandangnya seketika kemudian kembali beralih ke kaca televisyen.

‘Mak aii... cakap nak tunggu aku. Then kenapa nak masam muka dengan aku pulak?’ bisik NurAlia didalam hati. Dek kerana hatinya tidak senang melihat air muka suaminya itu, NurAlia memilih untuk memujuk lelaki itu. 

Sengaja NurAlia duduk bersimpuh diatas lantai berhadapan dengan sofa dimana Tengku Haris sedang duduk. Lelaki itu sedikit pun tidak mengendahkannya. ‘Apa aku nak buat ni? Kuatkan lah wahai hati. Jangan kau menangis sudah.’ Bisik NurAlia lagi.

NurAlia mengangkat kepalanya memandang Tengku Haris.
“Awak...”

Tiada respon. Lalu kedua pipi Tengku Haris disentuh lembut. Tengku Haris menundukkan kepalanya lalu memandang tepat anak mata isterinya.

“Awak merajuk ke? Tolongla jangan diam macam ni dengan saya. Tak senang saya kalau awak macam ni.” Luah NurAlia. Namun lelaki itu masih membisu. NurAlia menahan airmatanya daripada mengalir dihadapan lelaki itu.

“Awak....” Panggilnya lagi.

“Abang.” Balas Tengku Haris akhirnya. NurAlia menelan liur. Tengku Haris menggenggam kemas tangan isterinya ketika itu.

“Selagi Lia tak ubah panggilan Lia pada abang, jangan harap Lia boleh lepas dari abang.” Ugut Tengku Haris. NurAlia terdiam. Cuba menarik tangannya dari genggaman kemas suaminya.

“Macam budak-budaklah awak ni.” Rungut NurAlia.

Tengku Haris sedikit pun tidak menghiraukan rungutan daripada isterinya ketika itu. Dia tidak akan mengalah kerana dia yakin hati gadis itu adalah miliknya.

“Er...Aaa...bang, boleh tak lepaskan tangan Lia ni? Sakit tahu tak?” Akhirnya NurAlia mengalah. Tengku Haris menunduk, lalu mengucup dahi NurAlia serentak lelaki itu melonggarkan genggaman tangan mereka. NurAlia menutup matanya apabila terasa bibir suaminya itu mengucup dahinya. Hatinya tenang.

“Yam, tengok anak menantu kita ni. Nampaknya hajat awak nak dapat cucu kedua tak lama lagi akan dimakbulkan.” Ujar Tengku Jamil yang entah bila sudah berada disitu bersama Engku Maryam.

Tengku Haris tersengih. NurAlia tertunduk malu. Engku Maryam dan Tengku Jamil melabuhkan punggung berhadapan mereka.

“Papa ni kalau iya pun, bagilah salam dulu. Terperanjat kami dibuatnya .” Ujar Tengku Haris selamba. NurAlia hanya mampu tersenyum ketika itu. 

5 January 2013

Be Mine, My Maid? Episode 12



NURALIA kegelisahan di tempat duduknya. Tengku Haris yang sedang menonton Buletin Utama memandang NurAlia sekilas. Dia perasan gadis itu seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Ketika mereka sedang menikmati makan malam sebentar tadi, gadis itu tidak banyak bercakap. Berita kedatangan Engku Maryam dan Tengku Jamil pada esok hari telah disampaikan sebaik sahaja dia tiba dirumah.

“Kau ada masalah ke?” Soal Tengku Haris memecahkan kesunyian antara mereka. NurAlia terpinga-pinga sebentar.

“Aku tanya, kau ada masalah ke?” Ulang Tengku Haris.

“Tak adalah. Saya okay.” Jawab NurAlia.

“Habis tu, kau fikir apa? Pasal Bonda nak datang sini esok?” NurAlia terdiam. Tengku Haris tersenyum. NurAlia memandang Tengku Haris yang masih lagi menguntum senyuman.

“Salah kita jugak tak ada nak call Bonda lepas pindah sini. Mungkin Bonda dengan Papa saja datang nak tengok kehidupan kita sekarang. Kau risaukan apa sebenarnya?” Teka Tengku Haris. NurAlia mengeluh lagi.

“Maknanya selama Bonda kat sini, kita tidur satu biliklah nanti?” Soal NurAlia sambil menunduk.
Tengku Haris ketawa. ‘Itu yang kau risau rupanya.’ NurAlia menjeling Tengku Haris yang sedang ketawa itu.

“Kau takut aku sentuh kau? Sebab itu kau takut tinggal sebilik dengan aku? Come on lah sayang, kita kan suami isteri. Apa salahnya kalau kita......” Belum sempat Tengku Haris menghabiskan kata-kata, bagaikan dapat membaca fikiran Tengku Haris lantas NurAlia menyampuk.

 “Dahlah, saya nak masuk bilik dulu. Cakap dengan awak ni buat saya sakit hati ajelah.” Luah NurAlia geram. Lantas dia berdiri untuk meninggalkan ruang tamu. Baharu sahaja kakinya ingin melintasi Tengku Haris yang sedang terbaring disofa, tangannya dipaut lelaki itu. NurAlia tergamam seketika. Kemudian dia cuba menarik tangannya. Namun gagal. NurAlia memandang Tengku Haris yang sedang merenung tajam kearahnya. Dadanya berombak kencang.

“Esok pagi kita kemas sama-sama bilik kau tu. Jangan risau, aku tak akan kacau kau. “ Ujar Tengku Haris sambil mengenyit mata. NurAlia mendengus geram. Lantas tangannya ditarik dari genggaman lelaki itu. Tengku Haris ketawa.
*****
TENGKU Haris dan NurAlia bersalaman dengan pasangan yang baru sahaja tiba dari Kuantan itu.  Tengku Jamil menepuk bahu anak lelakinya itu apabila melihat anaknya itu sedikit berisi.  Engku Maryam memeluk bahu menantunya itu sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

“Duduklah dulu Bonda, Papa. Lia bawakkan minuman.” Ucap NurAlia sopan. Beberapa minit kemudian NurAlia muncul dengan menatang dulang yang berisi se jag jus oren dan sepinggan kuih-muih. Sebaik sahaja selesai menghidang, NurAlia mengambil tempat disebelah Tengku Haris.

“Bonda dengan Papa dah makan tengahari ke? Kalau belum, boleh Lia panaskan lauk kat dapur tu.” Ujar NurAlia dengan penuh sopan. Tengku Haris sengaja melingkari pinggang NurAlia sebaik sahaja isterinya itu duduk disebelahya. NurAlia sempat menjeling sekilas ke arah Tengku Haris.

“Tak payah susah-susahla Lia. Tadi kami sempat berhenti makan tengahari dekat RnR tu.” Jawab Tengku Jamil mesra.

“Bonda ni nak sangat datang rumah kamu berdua ni bukan apa, cuma nak tengok keadaan kamu suami isteri. Haris ni pun satu. Tak ada nak call Bonda sejak kahwin ni. Bila dah lihat suasana rumah kamu berdua ni, barulah Bonda tenang.” Ujar Engku Maryam panjang lebar.

Tengku Haris dan NurAlia menguntum senyuman.

“Ris bukan tak nak call Bonda,  banyak sangat kerja dekat pejabat tu. Bonda tanyalah Papa tu. Semua kerja Papa, Ris yang kena handle. Dahlah Papa bagi kerja bila dah nak dekat tarikh due.” Rungut Tengku Haris sambil memuncungkan bibirnya ke arah Tengku Jamil. Engku Maryam memandang suaminya. Tengku Jamil ketawa.

“Umur abang tu dah tak payah sibuk fikir pasal pejabat lagi. Sepatutnya abang serahkan urusan syarikat pada anak-anak pula. Bila tak larat nak buat kerja baru sibuk nak susahkan anak-anak.” Rungut Engku Maryam sambil memandang suaminya.

Tengku Jamil ketawa. “Yam oii... balik-balik itu yang awak nak bebelkan. Hampir separuh umur saya habiskan dengan kerja, takkan sekarang awak nak suruh saya duduk rumah goyang kaki?  Alamatnya nanti bertambah berisilah saya.” Balas Tengku Jamil. Satu cubitan hinggap di lengannya sebaik sahaja kata-katanya memasukki telinga Engku Maryam.

NurAlia mengukir senyuman melihat kemesraan pasangan dihadapannya itu.

“Tak lama lagi Bonda dah nak timang cucu pertama. Mira lagi 2 bulan nak bersalin. Kamu berdua bila lagi nak bagi hadiah kat Bonda?” Pertanyaan daripada Engku Maryam membuatkan NurAlia dan Tengku Haris saling berpandangan.

“Jangan tunggu lama-lama Ris, Lia. Bonda dengan Papa pun tak sabar nak tengok anak kamu berdua.” Ujar Engku Maryam.

NurAlia memandang Tengku Haris dengan harapan lelaki itu menyelamatkan keadaan itu. Namun dia hampa apabila lelaki itu bagaikan tidak memberi respon.

“Belum ada rezeki lagi Bonda. In Shaa Allah, bila dah ada nanti Bonda lah orang pertama kami beritahu.” Jawab NurAlia bersahaja.

“Awak ni Yam, budak berdua ni kan baru jer kahwin. Biarlah dorang nak berhoneymoon dulu. In Shaa Allah kalau panjang umur kita, dapatlah kita tengok anak Ris ni.” Bidas Tengku Jamil menyelamatkan keadaan. NurAlia tersenyum lega. Tengku Haris disebelahnya dijeling.

NurAlia mengerling jam didinding. Kepalanya merencanakan sesuatu. Lalu dia meminta diri untuk ke dapur demi untuk menyiapkan makan malam buat mentuanya. Beberapa minit kemudian, Engku Maryam muncul di tengah-tengah dapur dan menawarkan pertolongan. Puas NurAlia meminta wanita anggun itu agar berehat sahaja. Namun apabila wanita itu berkeras ingin membantu, NurAlia membiarkan sahaja.

Apabila hari hampir senja, NurAlia membawa mentuanya ke bilik yang telah disediakan di tingkat atas. Sebaik sahaja pasangan itu masuk ke bilik, NurAlia mengatur langkah perlahan menuju ke bilik Tengku Haris. Dia merasakan sedikit gementar apabila kaki sudah melangkah masuk ke dalam bilik itu. Matanya mencari Tengku Haris disegenap inci bilik itu. Namun bunyi pintu bilik air dibuka telah menjawab soalannya ketika itu. Matanya dilarikan apabila  terpandang Tengku Haris yang hanya bertuala separas lutut.

Tengku Haris mengukir senyuman apabila perasan wajah gadis itu sudah bertukar warna. Kakinya diatur menuju ke almari pakaian. T-shirt dan kain pelikat dicapainya. NurAlia yang masih tidak berganjak dari sofa dipandang. ‘tak nak mandi ke minah ni?’

“Kau tak nak mandi ke makcik? Kejap lagi masuk maghrib. Dah, cepat pergi mandi, ambil wuduk. Aku tunggu kau ni.” Arah Tengku Haris tegas. Mendengar arahan Tengku Haris, hati NurAlia bagaikan berlagu indah. Lantas dia berdiri lalu memusingkan badannya menghadap almari pakaian. Dia tertunduk apabila melihat Tengku Haris masih bertuala.

‘Aku nak ambil tuala mandi macammana ni? Ala, mamat ni..’ Rungut NurAlia didalam hati. Tawa Tengku Haris meletus lagi. Selamba sahaja Tengku Haris menyarungkan kain pelikat dihadapan NurAlia. Terjerit kecil gadis itu dibuatnya. Lagi kuat tawa Tengku Haris mengenakan NurAlia.

“Dengan suami sendiri pun nak malu ke Puan Alia? Dah, pergi lah mandi cepat.” Arah Tengku Haris. Cepat-cepat NurAlia menghampiri almari lalu dia mencapai pakaiannya yang sudah disusun didalam almari milik Tengku Haris. Pakaiannya dan ‘adik kakak’ yang sengaja dibalut dengan tuala dibawa masuk ke dalam bilik air. Bau haruman sabun yang dipakai Tengku Haris mencucuk hidungnya. Bibirnya menguntum senyuman. Terbuai dengan haruman tersebut.
*****
Tengku Haris memusing badannya menghadap NurAlia sebaik sahaja selesai mengaminkan doa. Wajah bersih NurAlia yang masih bertelekung itu direnung. Lantas NurAlia menarik tangan Tengku Haris untuk bersalaman. Tengku Haris mengusap lembut ubun-ubun NurAlia apabila gadis itu menunduk mengucup tangannya.

NurAlia mengangkat kepalanya. Mata mereka saling bertatapan. Bagaikan hati mereka saling berbicara meluahkan isi hati pemilik mereka. Tengku Haris menggenggam erat tangan NurAlia dan tiada lagi kontrak yang sentiasa menjadi penghalang diantara mereka ketika itu. Hanya hati yang saling berbicara.

Ketukan pintu menyedarkan mereka dari lamunan masing-masing. Sepantas kilat NurAlia menarik tangannya dari genggaman Tengku Haris. Dia membetulkan telekungnya. Tengku Haris berdehem beberapa kali. Lantas dia berdiri lalu melangkah menuju ke pintu.

“Ris baru nak solat ke?” Soal Tengku Jamil sebaik sahaja pintu bilik anaknya dibuka dari dalam.
“Eh.. taklah Papa. Kami baru jer selesai. Kenapa Pa?”

NurAlia berdiri lalu menghampiri Tengku Haris yang berdiri menghadap Tengku Jamil.

“Lepas kita makan malam nanti Papa dengan Bonda nak ke rumah Hafiz. Ris dengan Lia nak pergi sekali dengan Papa?” Soal Tengku Jamil. Tengku Haris memandang NurAlia yang sedang berdiri di belakangnya. NurAlia membalas pandangan Tengku Haris yang seperti meminta jawapan daripadanya. Hanya anggukan dibalas ketika itu.

“Boleh jugak, Papa. Ris pun dah lama tak balik sana. Nanti kita pergi sekali lah. Kan sayang?” Sengaja Tengku Haris memeluk bahu NurAlia dihadapan Tengku Jamil. NurAlia hanya mengangguk sambil tersenyum memandang Tengku Jamil.

“Jom Papa, kita borak dekat bawah.” Ajak Tengku Haris sambil melepas pelukan di bahu NurAlia.
“Kejap lagi Lia turun siapkan makan malam ye Papa.” Ujar NurAlia. Tengku Haris sempat mengenyitkan matanya ke arah NurAlia yang masih bertelekung itu. NurAlia mencebik. Lantas dia menutup kembali daun pintu bilik.
*****
“Kenapa Bonda ajak perempuan kampung tu datang sini? Lisa menyampah tengok muka dia lah Bonda.” Bentak Tengku Malissa sebaik sahaja Engku Maryam melangkah masuk ke dalam perut banglo mewah itu. Lengan Engku Maryam ditariknya masuk ke bahagian dapur kering banglo.

“Apa tak kena dengan Alia tu? Bonda tak nampak satu pun perangai pengikis yang Lisa duk cakap kat Bonda selama ni.” Bidas Engku Maryam. Tengku Malissa mencebik.

“Depan Bonda memanglah dia tak tunjuk. Lisa kenal sangat jenis perempuan kampung macam dia tu. Dah lah tak setaraf dengan keluarga kita.” Ujar Tengku Malissa mengharapkan Bondanya menyebelahinya ketika itu.

“Malaslah Bonda melayan kamu ni. Kak Mira mana?”

Tengku Malissa mendengus.

“Kat atas. Berehat kot.” Jawab Tengku Malissa. Engku Maryam menggeleng kepala melihat anak bongsunya itu.

Di ruang tamu, Tengku Haris dan Tengku Jamil leka berborak tentang urusan pejabat. Engku Maryam mengatur langkah mendaki anak tangga. NurAlia mencari kelibat Bibik Biah yang dirindui.

“Assalamualaikum Bibik!” Jerit NurAlia perlahan disebelah Bibik Biah yang sedang leka membancuh air.

“Ya Allah Lia, lamanya tak datang sini.” Ujar Bibik Biah. Mereka berpelukkan seketika.

“Lia rindu sangat dekat bibik tau. Biar Lia tolong hantarkan air ni kat depan.”

“Eh, tak payahlah Lia. Ini kan kerja bibik. Lia duduk aje.” Ujar bibik Biah. NurAlia menarik muncung. Bibik Biah tersenyum. Akhirnya Bibik Biah akur. NurAlia mencapai dulang itu lalu membawa ke ruang tamu. Tengku Haris yang sedang berbual dengan abang dan Papanya memandang NurAlia yang baru sahaja muncul dari dapur itu.

Tengku Hafiz dan Tengku Jamil hanya memandang NurAlia yang sedang menuang air teh ke dalam cawan.
“Pandai awak jaga Ris ni Lia. Sampai dah naik badan dia ni. Kan Papa?” Usik Tengku Hafiz. NurAlia tersenyum.

“Adik awak tu yang makan sampai tak ingat dunia. Itu yang dia dah naik tembam. Kan Papa?” Balas NurAlia. Lantas cepat-cepat dia menghilang ke dapur. Sudah lama dia tidak berbual dengan Bibik Biah. Kadang kala tersimpul kerinduan buat wanita tua itu.

Tengku Haris menjerit memanggil nama isterinya. NurAlia yang sedang menonton televisyen didalam bilik Bibik Biah cepat-cepat berdiri apabila terdengar nama dipanggil.

“Jenuh abang cari sayang tau. Dekat sini rupanya. Jomlah kita balik.” Ujar Tengku Haris lembut sekali nadanya. NurAlia memandang Bibik Biah yang memerhati mereka itu.

“Bibik, Lia minta diri dulu. Nanti Lia datang lagi.”
“Yelah Lia.”

NurAlia dan Bibik Biah berpelukkan seketika. Tengku Haris sengaja meraih tangan NurAlia ke dalam genggamannya. NurAlia sengaja mengikut rentak lelaki itu dek kerana sedar di mana dia berada ketika itu.
Tepat jam 11 malam NurAlia dan Tengku Haris pulang berdua sahaja ke kediaman mereka. Engku Maryam dan Tengku Jamil tidak jadi untuk bermalam di kediaman mereka dek kerana risaukan kesihatan Sharifah Amira yang tidak menentu.

Setibanya mereka di rumah, NurAlia mengatur langkah menuju ke kamarnya. Namun dilarang Tengku Haris dengan alasan Engku Maryam dan Tengku Jamil mungkin akan datang pada bila-bila masa untuk mengambil bagasi mereka. Tanpa sebarang syak, NurAlia akur.
*****
“Kau buat apa tu?” Sergah Tengku Haris apabila melihat NurAlia seperti sedang berkira-kira ingin merebahkan badannya diatas sofa.

Tengku Haris yang baru sahaja ingin berbaring diatas tilam, terus sahaja berdiri lalu menghampiri NurAlia. Tangannya dihulur kepada NurAlia. NurAlia mengangkat wajahnya.

“Aku janji tak akan usik kau. Aku tak nak kau sakitkan badan kau tidur atas sofa ni.” Pujuk Tengku Haris. NurAlia kaku. Tangan NurAlia diraihnya lalu menarik gadis itu ke katil.

“Dah lah, tidur.” Ringkas sahaja kata-kata dari mulut Tengku Haris ketika itu.  NurAlia masih diam seribu bahasa.

“Tak baik tau ingkar perintah suami. Tak cium bau syurga tau.” Ujar Tengku Haris dengan nada seperti merajuk. NurAlia tersenyum. Tengku Haris yang sudah berbaring menarik nafas lega apabila melihat NurAlia sudah menunjukkan tindakbalas yang positif.

Itulah pertama kali mereka tidur sekatil. Debar didada hanya Tuhan sahaja yang tahu ketika itu. Tengku Haris yang sudah terlena itu direnungnya. Segala kasih sayang telah tertumpah buat lelaki itu sejak hari pertama bergelar isteri. Jarinya galak menyentuh bibir lelaki itu.

“Sayang awak.” Bisik NurAlia sambil jarinya mengusap pipi bersih suaminya. Akhirnya dia terlena dengan sendiri. Tengku Haris membuka matanya perlahan. Satu senyuman terukir dibibirnya. Tangan NurAlia digenggamnya. Segenap wajah NurAlia menjadi tatapannya. Sehingga dia dibuai mimpi.