31 July 2013

Bunga Cinta Hati - 5

Episod 5
JADUAL kerja yang baru disiapkannya ditilik sekali lagi. Dahinya dipicit perlahan. Memikirkan kerja yang tidak pernah habis itu sedikit sebanyak memeningkannya. Tiba-tiba terdengar pintu biliknya diketuk.
            “Masuk.” Jeritnya.
            Tidak lama kemudian wajah Amy muncul.
            “Kau tak sihat ke?” Tanya Amy apabila melihat temannya itu sedang memicit dahi.
            “Tak adalah. Ni haa... aku tension tengok jadual aku ni.”
            Amy mencapai diari putih milik temannya itu. Dia mengangguk.
            “Patutlah.” Ujarnya sambil melabuhkan punggungnya dikerusi empuk berhadapan temannya itu.
            “Tak mengapalah. Projek yang satu lagi ni dah nak siap. Aku harap sangat lepas selesai yang ni, aku boleh rehatkan otak aku sikit.”
            “InshaAllah boleh.” Ujar Amy sambil mengetuk meja.
            “Kau ada masalah ke? Lain macam aje muka kau aku tengok. Berkerut semacam aje.”
            Amy mengeluh berat.
            “Umi aku call. Umi ingatkan aku tentang persiapan wedding aku.”
            Farah membulatkan matanya.
            “Bila tarikhnya ni?”
            “Hujung bulan depan.” Jawab Amy muram.
            “What?!!” Jerit Farah. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
            “Takkanlah secepat ni?”
            Amy mengangguk.
            “Nanti aku kena cari housemate barulah nampaknya.”
            Amy diam. Farah yang mengerti akan perasaan temannya itu cepat-cepat dia menukarkan suasana itu.
            “Amy, balik nanti aku belanja kau makan nak tak? Aku teringin nak makan spageti dekat Pizza Hut tu lah.” Dia cuba memancing minat temannya itu.
            “Aku ikut aje. Kau nak belanja lagilah aku tak kisah. Tapi, macam mana ni Farah? Aku tak tahu apa aku perlu buat. Masa terlalu singkat. Aku bimbang kalau aku tak sempat nak settle semuanya.”
            Farah melepaskan keluhan berat.
            “Erm... Kau dah buat keputusan kan? Kau dah terima pilihan umi kau kan?”
            Amy terangguk-angguk sebagai jawapan.
            “Okay, aku akan bantu kau semampu aku boleh. Erm... jap.” Farah memusingkan kerusinya seketika sebelum menghabiskan kata-katanya. Amy mengerutkan dahinya melihat temannya itu yang sedang membongkokkan badannya itu.
            “Kau buat apa tu?” Soalnya hairan.
            Farah tersengih menampakkan giginya yang tersusun cantik.
            “Nah. Buat senarai apa yang patut kita mulakan dulu.” Kertas A4 putih bersih itu disuakan kepada Amy yang terpinga-pinga itu.
            “Untung aku dapat kawan macam kau.” Ujar Amy sambil membuka penutup pen.
            Farah tersenyum. Dia menghalakan pandangannya pada skrin laptopnya. Amy tekun sekali mencatit sesuatu pada kertas kosong itu.
            “Wah... banyaknya!” Jerit Farah. Amy memuncungkan bibirnya.
            “Sempat ke Farah?” Dia berhenti menulis.
            “InshaAllah sempat. Kau tak payah nak bimbang sangat.” Ujar Farah. Selang beberapa minit kemudian barulah Amy melangkah keluar dari bilik pejabat temannya itu. Baru sahaja dia ingin melangkah ke mejanya, dia terpandang kelibat ‘big boss’nya yang baru sahaja keluar dari bilik Pengurusnya.
            Dia memaniskan wajahnya.
            “Selamat pagi, Dato’.” Tegur Amy hormat. Lelaki itu tersenyum.
            “Selamat pagi. You dari mana?”
            “Er... I dari bilik Farah, Dato’.” Jawabnya sedikit gugup.
            “Farah busy ke?” Soal Dato’ Darwisy tenang.
            “Dari apa yang saya tengok, tak busy sangat.”
            “Mood dia okay tak?” Amy menahan tawanya apabila mendengar pertanyaan ketuanya itu.
            “Taklah kut.” Jawabnya pendek. Lelaki itu mengangguk lalu mengatur langkah menuju ke pekerja lain. Amy menarik kerusinya lalu duduk sambil memerhati ketuanya itu.        Lelaki itu pasti akan muncul di bahagian pengurusan dan operasi jika ada waktu terluang untuk memantau pekerjanya. Sikap ketuanya yang suka mengambil berat tentang kebajikan pekerjanya berjaya membuatkan ramai pekerja di syarikat itu menyenangi peribadi Dato’ muda itu.
           
FARAH terus berdiri tatkala melihat ketuanya itu membuka pintu bilik pejabatnya. Lelaki itu menapak masuk menghampiri Farah yang kaku berdiri itu.  Senyuman dibibir lelaki itu dibalasnya.
            “Busy?” Sapa Dato’ Darwisy sambil menyandarkan badannya dikerusi empuk itu.
            Farah mengangkat kening.
            “Kalau i cakap i busy you nak tolong kurangkan kerja i ke Dato’?” Ujar Farah bersahaja. Sengaja dia tidak menggunakan gelaran baru yang diberi lelaki itu memandangkan mereka berada di pejabat.
            “It’s Am. Bukan Dato’. I thought we already had a deal yesterday.” Ujar Dato’ Darwisy tegas. Farah ketawa.
            “Dato’, kita di pejabat sekarang. Di pejabat you ketua i. Lagipun deal semalam dah tak valid untuk harini.” Farah sengaja menarik tali.
            Dato’ Darwisy merenung wajah bersih milik gadis bertudung dihadapannya itu. Entah kenapa dia tertarik dengan personaliti gadis dihadapannya itu. Makin hari dirasakan dia ingin mendekati gadis itu.
            Farah cuba menumpukan perhatian pada skrin laptop kesayangannya itu. Dia jadi tidak keruan apabila lelaki dihadapannya itu asyik memandangnya.
            “Dato’, you jumpa i ni ada apa-apa yang i perlu bantu ke?” Ujarnya sedikit menyinga.
            Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya hanya tersengih. Farah mengeluh. Belum sempat dia ingin berkata-kata, telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Farah kembali memandang skrin laptop. Lelaki itu dengan selamba menjawab panggilan telefon itu.
            Mendengar perbualan pendek itu membuatkan Farah sedikit menggelegak. Dia berhenti menaip. Lelaki dihadapannya menjadi sasaran tenungannya. Sebaik sahaja panggilan dimatikan, Dato’ Darwisy berdiri tanpa mempedulikan tenungan tajam Farah.
            “Esok kita ke Dungun. Tuan Haji minta you percepatkan tarikh site visit. Lusa dia kena fly ke Sabah.” Ujar Dato’ Darwisy selamba. Dengan tenang dia mengatur langkah ingin menghampiri pintu.
            Farah menarik nafas sedalamnya.
            “Kenapa Tuan Haji tak contact i directly? Boleh tak you jangan masuk campur urusan kerja i? You dah amanahkan i untuk uruskan projek ni atas alasan Tuan Haji request untuk i uruskan. Tapi bila i baru nak mulakan step, you yang sibuk interfere pula? Boleh tak you biarkan i uruskan kerja i dengan aman macam kerja-kerja yang i dah uruskan sebelum ni?” Farah menarik muka masam. Lelaki itu memusingkan badannya.
            “You tak percayakan hasil kerja i ke?” Duga Farah sambil membalas pandangan lelaki itu.
            “Bukan macam tu Farah. I cuma nak bantu you untuk permudahkan kerja you. Itu saja.” Jawab Dato’ Darwisy pendek.
            “Tak perlu Dato’. I tak suka. I tahu apa yang perlu i buat.” Ujar Farah tegas.
            “Well... if you said so, it’s okay then. Kalau ada masalah, please come to me.” Ujar lelaki itu lembut. Lalu dia melangkah keluar dari bilik itu.
            Kata-kata terakhir lelaki itu sedikit sebanyak menyejukkan hati Farah. Pintu bilik yang tertutup rapat itu dipandangnya. Farah melepaskan keluhan. Sedikit kesal dengan kata-katanya sendiri.
            Tangannya laju mendail nombor pejabat Tuan Haji Ibrahim untuk mengesahkan kedatangannya untuk melawat banglo Tuan Haji Ibrahim di Dungun keesokkan hari.

FARAH menyertai Amy yang sedang menonton televisyen diruang tamu. Bantal kecil bercorak flora dijadikan alas kepalanya. Iphone 5 miliknya digenggam seketika. Dia berkira-kira untuk menghantar sms kepada ketuanya untuk melahirkan rasa kesalnya berikutan insiden petang tadi.
            Amy yang perasan kegelisahan temannya itu lantas ditegurnya.  Namun dia sengaja tidak menceritakan tentang insiden itu kepada temannya itu.  Beberapa minit kemudian dia meninggalkan temannya itu sendirian diruang tamu.

JAM 8.15 pagi Farah sudah bersiap untuk ke Dungun. Dia menghidupkan enjin keretanya. Beberapa minit kemudian barulah Amy muncul. Setelah pagar ditutup kemas, mereka berangkat ke tempat kerja.
            “Aku nak ke Dungun kejap lagi. Ada meeting dengan client.” Beritahu Farah ketika keretanya sudah berada berhampiran dengan kawasan pejabat.
            “Kau pergi dengan siapa?”
            “Soranglah. Kau tak payah risaulah. Aku masuk pejabat lepas lunch. InshaAllah. Yang pasti sebelum pukul 3 petang aku dah ada dekat pejabat.” Ujar Farah yakin.
            “Okay. Take care. Ada apa-apa kau call aku tau?” Pesan Amy sebelum melangkah keluar dari kereta.
            Selepas menurunkan Amy dihadapan pejabat, dia memulakan perjalanan ke Dungun bertemankan radio yang berkumandang.
FARAH melangkah masuk ke kawasan banglo yang hampir siap itu. Seorang lelaki yang segak berkemeja ungu menyapanya.
            “Cik Farah?”
            “Ya.”
            “I Ashraf. Anak Tuan Haji. Datang sorang saja ke?”
            Farah tersenyum. Lalu mengangguk. Kemudiannya lelaki itu mengajaknya berbincang disebuah bangku yang terdapat di bahagian kanan banglo itu. Farah menyerahkan lakaran landskap yang dibawanya kepada lelaki dihadapannya.
            Dia cuba menerangkan sedikit sebanyak lakaran itu kepada lelaki itu. Bagaikan burung belatuk, lelaki itu terangguk-angguk. Segala idea lelaki itu dicatitnya. Dia lebih senang bertukar idea dengan lelaki itu berbanding dengan anak perempuan Tuan Haji Ibrahim. Kerana baginya lelaki itu tidak cerewet dan tidak banyak kerenah seperti anak perempuan Tuan Haji Ibrahim.
            Setelah selesai berbincang mengenai landskap yang bakal dibina dikawasan banglo itu, Farah meminta diri untuk pulang ke pejabat.
            “You dah lama kerja dengan Dato’ Darwisy?” Tanya lelaki itu ketika Farah ingin membuka pintu kereta.
            “Lamalah juga. 3 tahun lebih. You kenal Dato’ ke?”
            “Taklah sangat. Rakan bisnes saja. Rasanya sebelum ni you pernah handle job dengan my dad kan?”
            “Ha’ah. Last year.” Jawabnya pendek.
            “Wow... amazing. So this is your second job with us? My dad suka dengan hasil kerja you. No wonderlah my dad chose you untuk design landskap rumah baru kami ni.” Ujar lelaki itu. Farah tersenyum. Kemudiannya meminta diri untuk pulang. Mereka sempat bertukar kad sebelum Farah meninggalkan banglo itu.

DATO’ Darwisy mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Nama Ashraf Haji Ibrahim tertera diskrin. Tanpa berfikir dia menjawab panggilan itu.
            “Am! Kenapa kau tak pernah beritahu aku yang kau ada staff cun macam tu?” Sergah temannya dihujung talian. Dato’ Darwisy mengerutkan dahinya.
            “Staff cun mana pula ni Ash?”
            Ashraf ketawa dihujung talian.
            “Cik Farah. Kau tak tahu ke?”
            Dato’ Darwisy terdiam. Dia menepuk dahinya.
            “Dia dah jumpa Pak Haji ke?” Soalnya sedikit kaget.
            “Tak. Abah aku minta aku uruskan. Tadi aku dah jumpa Cik Farah. Tak sangka kau ada staff cun melecun.” Ujar Ashraf lagi.
            Dato’ Darwisy meletak tangannya dikepala. Tidak keruan.
            “Kau jangan buat hal Ash. Dia tu staff aku. Dia tak macam perempuan lain. Aku kenal dia macam mana.” Ujar Dato’ Darwisy.
            “Ala kau ni Am...” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Dato’ Darwisy mencelah.
            “Eh Ash. Aku ada meeting sekarang ni. Talk to you later?” Dato’ Darwisy sengaja mencipta alasan.
            “Alright. Nanti aku ada kerja dekat sana, kita lepaklah.” Ujar Ashraf bersungguh-sungguh.
            “Okay. Kau inform saja aku nanti.”
            Sempat dia menjawab salam sebelum mematikan talian. Dia mengeluh panjang selepas panggilan dimatikan. Tangannya ligat mendail nombor P.A nya.
            “Sha, you tolong call Amy. Kemudian sambungkan pada i.” Arah Dato’ Darwisy tegas. Beberapa minit kemudian, suara Amy sudah berada ditalian.
            “Farah dah balik ke belum?” Belum sempat Amy bersuara, lelaki itu terlebih dahulu bersuara.
            “Er.... belum lagi Dato’. Katanya mungkin after lunch baru masuk office. Dia ke Dungun pagi tadi.” Jawab Amy. Dato’ Darwisy menjeling jam dipergelangan tangannya.
            “Okay. Nanti kalau dia dah masuk office, you tolong inform i.” Ujar Dato’ Darwisy.
            “Baiklah Dato’.”
            “Thanks Amy.” Ganggang telefon diletakkan kembali. Dia menyandarkan badannya ke kerusi.
            Kepalanya ligat berfikir tentang dirinya. Ada kerisauan apabila mendengar berita daripada Ashraf tentang Farah. Teman yang dikenalinya beberapa tahun lalu itu seperti sudah menunjukkan minat terhadap gadis pujaannya.
            “Tak boleh jadi ni. Bahaya kalau aku beri dia terus bekerjasama dengan si Ash ni.” Ujarnya sendiri.
            Kepalanya ligat memikirkan insiden di bilik pejabat gadis itu semalam. Kerana ingin mendekati gadis itu dia sanggup memilih untuk turut mencampuri urusan kerja yang telah diberi pada gadis itu. Terasa kredibilitinya sebagai ketua sedikit goyah apabila mengingatkan insiden tersebut. Ada benar kata-kata gadis itu semalam.
            Lantas tangannya laju mencapai tetikus. Laman sesawang kedai bunga dibukanya. Dia menguntum senyuman melihat gambar-gambar di laman sesawang tersebut. Tanpa berfikir panjang dia mendail nombor kedai bunga tersebut untuk membuat tempahan.

JAM 12.45 tengahari barulah Farah muncul dipejabat. Orang pertama yang dicarinya tentulah teman rapatnya, Amy. Namun dia hampa kerana temannya itu sudah keluar makan tengahari bersama staff yang lain.
            Kakinya diatur menuju ke bilik pejabatnya. Matanya membulat apabila melihat jambangan bunga ros merah cantik terletak diatas meja kerjanya. Dahinya berkerut. Laju kakinya melangkah menghampiri meja. Jambangan bunga yang sudah berada ditangannya itu dibeleknya. Kad kecil bewarna merah jambu dibukanya.
            ‘I pretended to look around, but I was actually looking at you. – D.A’
            Farah memandang sekeliling seketika. Lantas dia meletakkan kembali jambangan bunga itu dihujung meja. Malas hendak memikir penghantar misteri itu. Keropok goreng yang dibelinya ketika dalam perjalanan pulang dari Dungun dicapainya.
            Sekali lagi dia memandang jambangan bunga itu. Satu keluhan dilepaskan. Ligat kepalanya menjawab teka-teki gerangan si pengirim bunga tersebut.


            

Bunga Cinta Hati - 4

Episod 4
AMY tersenyum melirik dari tempat duduk belakang sambil memandang temannya yang berada ditempat duduk hadapan. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Awal-awal lagi temannya itu berpesan padanya supaya tidak mengenakannya ketika di dalam kereta. ‘Kau macam tahu-tahu kan Farah?’ Bisiknya.
            “Kereta awak rosak apa Amy?” Dato’ Darwisy cuba memulakan perbualan. Tidak betah dengan suasana yang sedikit ‘kekok’ itu.
            “Erm... entahlah Dato’. Saya bukan tahu sangat pasal kereta ni. Yang saya tahu kereta tak boleh nak hidupkan enjin.”
            “Ooo... bila boleh siap repair?”
            “Katanya dalam 2 hari juga. Tapi tak apalah. Mungkin ada hikmah kereta saya rosak, Dato’. Macam sekarang lah Dato’. Kalau tak, saya tak akan dapat tengok kawan saya tersipu malu macam ni.” Ujar Amy selamba. Farah terus memusingkan badannya memandang Amy yang sudah ketawa itu. Dato’ Darwisy turut sama ketawa.
            “Jangan dilayan sangat dengan Amy ni. Dia memang macam ni.” Ujar Farah sambil memandang rakannya yang berada dibelakang sekilas. Amy menjelirkan lidahnya.
            “You dengan Amy dah lama kenal?”
            “Lama lah juga Dato’. Sejak Farah mula kerja dengan Dato’.” Jawab Amy ringkas. Farah mengangguk sahaja.
            “Baguslah kalau macam tu. Senanglah kerja i nanti.” Ujar Dato’ Darwisy perlahan namun dapat didengari dengan jelas oleh Farah. Dia membulatkan matanya memandang lelaki itu seketika.
            Kereta dipandu lelaki itu membelok masuk ke sebuah masjid yang kelihatan lengang. Farah mencapai tas tangannya.
            “I nak solat sekejap. You all solat tak?” Soal Dato’ Darwisy yang memandang Farah.
            Farah mengangguk. Amy tersengih penuh makna ditempat duduk belakang
            “You all pergi solat. I tunggu dalam kereta.” Ujar Amy. Dato’ Darwisy terus keluar dari perut kereta dan melangkah menuju ke tempat wudhu’ lelaki.
            “Kau kunci pintu tau?” Pesan Farah sebelum melangkah keluar dari kereta.
            “Okay.”
            Farah terus mengatur langkah menuju ke ruang solat muslimah.

“FARAH dah ada boyfriend, Amy?” Terpancul soalan itu dari bibir lelaki itu setelah beberapa saat lelaki itu masuk ke dalam kereta. Amy tersenyum.
            “Setahu saya, Farah tak pernah ada boyfriend sejak saya kenal dia. Yalah, macam mana nak ada boyfriend, asyik busy saja. Dato’ bagi dia banyak sangat kerja, sampai dia tak ada masa nak cari boyfriend. Kenapa Dato’ tanya? Dato’ berminat ke?” Amy cuba memasang perangkap.
            Dato’ Darwisy menguntum senyuman penuh makna. Amy membulatkan matanya. Ketika itu kelihatan Farah sedang berjalan menuju ke arah kereta.
            “Erm... You have to work hard Dato’.” Pesannya. Mereka berlagak seperti biasa apabila Farah memasuki kereta.
            “You boleh drive lagi ke? Kalau dah penat, let me drive.” Ujar Farah sambil menarik memakai tali pinggang keselamatan.
            “I tak penat pun. You all ada nak makan apa-apa?” Tanya Dato’ Darwisy sambil memandu keluar dari perkarangan masjid. Dengan lafaz bismillah, dia menyambung perjalanan yang masih berbaki.

“DATO’ tinggal dengan siapa dekat sini?” Tanya Amy sebaik sahaja kereta Farah yang dipandunya berhenti dihadapan sebuah banglo yang gah berdiri.
            “Kalau weekdays i soranglah. Time weekend kalau i tak balik KL, family i stay dekat sini. You all tak nak masuk dulu ke? My maid boleh buatkan minuman.”
            Cepat-cepat mereka menolak atas alasan tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Lelaki itu keluar dari perut kereta dan menuju ke boot belakang. Beberapa saat kemudian Farah turut keluar dari perut kereta menuju ke boot.
            “Dato’.... Erm..” Apabila melihat pandangan tajam lelaki itu, dia kelu seketika.
            “Ada apa you nak beritahu i ke?”
            “Erm.. Anyway, big thanks for today.” Ujar Farah perlahan namun masih dapat menyapa telinga lelaki itu.
            “Welcome. Jumpa esok di pejabat.” Ujar lelaki itu sambil mengheret bagasinya. Farah mengangguk lalu berlari anak menuju ke bahagian pemandu. Amy yang berada disebelahnya begitu teruja sekali membalas lambaian dari lelaki itu.
            “Eii... handsomelah Dato’ tu. Bila dia senyum macam nak gugur jantung aku ni Farah.”
            Farah mencebik.
            “Over sangatlah kau ni Amy. Aku tengok biasa saja Dato’ tu. Kau syok dekat dia ek?” Usik Farah pula.
            “Hisshh kau ni. Taklah sampai syok dekat bos kita tu. Kita nak masak apa dinner malam ni Farah?”
            “Entahlah Amy.  Malam nanti kita keluar makan sajalah. Aku malas nak masak. Mak ayah kau apa khabar?” Ketika itu kereta yang dipandu Farah sudah membelok ke taman perumahan mereka.
            “Alhamdulillah, dorang sehat. Cuma aku  saja yang tak sehat.”
            Farah mengerutkan dahinya.
            “Apa hal pula dengan kau? Kau ada masalah dekat kampung ke?” Tanyanya sambil mematikan enjin.
            Amy mengeluh berat.
            “Nanti aku cerita.”
            Farah mengangguk sahaja. Kemudian dia membuka pintu kereta lalu melangkah keluar dari perut kereta kesayangannya itu. Bagasi kecil yang terdapat didalam ‘boot’ belakang dikeluarkannya. Kemudian pintu ‘boot’ ditutup kembali. Amy yang sedang membuka pintu utama rumah sewa mereka dihampirinya.
            “Umi aku dah tetapkan tarikh pernikahan aku.” Ujar Amy sambil menghempas badannya ke sofa. Farah membulatkan matanya memandang temannya itu. Sepantas kilat dia mengambil tempat di sofa bersebelahan dengan temannya itu.
            “Nikah?”
            Amy mengangguk. Muram.
            “Sejak bila kau ada boyfriend?”
            Amy memandang Farah seketika. Lalu dia mengeluh berat.
            “Umi nak jodohkan aku dengan anak kawan dia. Kau bayangkan, aku akan menjadi isteri kepada seseorang yang aku tak pernah kenal. How’s that?”
            “Kau tak cuba bantah ke?”
            “Aku dah berhabis membantah kau tahu? Sehari selepas aku balik, umi tunangkan aku dengan lelaki tu.” Ujar Amy sambil memandang jari manisnya yang sudah tersarung cincin itu.
            “Sabar Amy. Erm... Mungkin pilihan Umi kau adalah pilihan terbaik untuk kau? Aku yakin Umi kau nakkan yang terbaik untuk kau. Tak ada ibu yang nak tengok anak dia sedih.”
            “Tapi aku tak kenal lelaki tu, Farah.” Rengek Amy lagi. Farah mengukir senyuman lalu ditepuk bahu temannya itu.
            “Apa kata kau cuba buka pintu hati kau dan belajar untuk kenal dia. Aku ni nak nasihat orang bukannya terer sangat Amy. Tapi, kau cubalah dulu.”
            “Thanks Farah. InshaAllah aku akan cuba.” Ujar Amy sambil menguntum senyuman.

            “Dahlah. Aku nak masuk dalam bersihkan diri dulu. Nanti kita borak lagi.” Farah bangkit dari sofa. Lalu meninggalkan temannya itu diruang tamu. 

17 July 2013

Bunga Cinta Hati - 3

Episod 3
‘IBU tak kerja ke hari ni?’ ujarnya dalam hati. Kakinya melangkah laju menuju ke ruang tamu kecil yang menempatkan sebuah TV 55 inci dan sofa berbentuk L serta beberapa perhiasan lain.  Dia melabuhkan punggung disebelah ibunya yang sedang menonton drama tempatan itu.
            “Ibu tak kerja ke harini?”
            “Tak. Anak ibu balik, takkanlah ibu nak tinggal anak ibu dekat rumah. Dahlah awak tu jarang sangat nak balik.” Ujar Puan Raihana lembut. Farah tersenyum.
            “Awak dah makan ke? Bibik ada buatkan sarapan dekat dapur tu. Ibu dah makan. Pergilah awak makan dekat dapur.” Ujar Puan Raihana lagi sambil menepuk lembut peha anak gadisnya itu.
            “Nantilah ibu. Farah nak duduk dekat ibu dulu. Lama tak duduk macam ni dengan ibu.” Ujar Farah manja. Sengaja dia melentokkan kepalanya dibahu ibunya itu. Puan Raihana mengusap lembut rambutnya.
            “Ibu, agaknya apa khabar ayah sekarang?” Tanya Farah tiba-tiba.
            Sejak dia berhijrah ke Terengganu, dia tidak pernah cuba menghubungi lelaki yang bergelar ayah itu. Ibu dan ayahnya bercerai ketika dia sedang bergelut dengan SPM. Ibu sangat kecewa ketika mendapat tahu ayah mengahwini seorang gadis sunti 2 tahun lebih tua dari anak tunggalnya. Sejak ayah berkahwin baru selepas 2 tahun mereka berpisah, dia dan ibu dipinggirkan. Ayah tidak berlaku adil kepada mereka.
            Mujurlah ibu seorang yang tabah dan kuat. Atas didikan ibu jugalah dia telah berjaya sehingga kini. Beberapa bulan selepas perkahwinan ayah, ibu diceraikan. Sejak itulah ibu nekad untuk memulakan perniagaan sendiri bagi menampung kehidupan mereka berdua.
            “Kenapa Farah tanya pasal dia?”
            “Entahlah ibu.”
            Mereka diam seketika. Beberapa minit kemudian, Farah meminta diri untuk ke dapur. Perut yang berbunyi minta diisi.

TAS tangan yang berada di tempat duduk sebelah pemandu itu dicapai lalu dia meneliti barang yang berada didalam beg tersebut. Matanya tertancap pada seutas jam yang sentiasa dibawanya itu. Diusap perlahan permukaan jam itu. Kemudian dia meletakkan kembali jam tangan itu kedalam tas tangannya lalu dia melangkah keluar dari perut kereta.
            Sengaja dia memilih untuk membeli-belah di Mid Valley pada petang itu. Bosan terperap dirumah, dia mengambil keputusan untuk memanjakan diri dengan membeli-belah. Itulah aktiviti kesukaannya.
            Hampir 2 jam dia disitu, kiri kanan tangannya sudah penuh dengan beg plastik dari beberapa jenama terkenal. Baru sahaja dia ingin melangkah keluar dari butik ZARA, bahunya dilanggar seorang perempuan. Habis beg plastik yang dibimbitnya terjatuh ke lantai. Tanpa sepatah kata maaf, perempuan itu terus meluru masuk ke dalam butik itu.
            Seorang lelaki yang tiba-tiba muncul untuk menghulurkan bantuan, dihalang Farah. Tanpa memandang ke arah lelaki itu, dia berlalu pergi.

KERETA yang dipandu Farah dipandu masuk ke perkarangan banglo 2 tingkat itu.  Dengan senyuman yang melebar, dia melangkah masuk ke dalam banglo. Dia merebahkan badannya di atas sofa diruang tamu. Beberapa minit kemudian pembantu rumahnya muncul bersama segelas jus oren.
            “Terima kasih bibik.” Jus oren diteguk perlahan.
            “Cik Farah sudah makan malam?”
            “Tak apa bik. Nanti saya mahu makan, saya ambil sendiri.” Ujar Farah. Pembantunya itu hanya mengangguk lalu melangkah ke dapur.
            Alat kawalan jauh tv ditekannya. Beberapa saat kemudian telefon bimbitnya berlagu riang. Dia mengerutkan dahinya apabila melihat nama yang tertera. Tanpa berfikir panjang dia menjawab panggilan itu.
            “Assalamualaikum Cik Farah. You apa khabar?” Terdengar suara Dato’ Darwisy dihujung talian.
            “Waalaikummussalam Dato’. Alhamdulillah sehat. Ada apa Dato’ call i ni?” Soal Farah sambil melangkah menghampiri anak tangga bersama beg plastik.
            “Er...malam ini you free tak? I ingat erm... nak ajak you dinner dengan i.” Ujar Dato’ Darwisy dihujung talian. Farah tersenyum. Entah mengapa dia gembira apabila mendengar pelawaan lelaki itu.
            “Hello.... Cik Farah...” Panggil lelaki itu pula apabila tiada respon daripada Farah ketika itu.
            “Iya... Erm... i rasa tak boleh kut. I dah ada date dengan my mum.” Sengaja dia mencipta alasan supaya dia tidak dilihat terlalu ‘murah’ dimata lelaki itu.
            “Date dengan your mum? Ehem... Your mum or your boyfriend ni? It’s okay then. Maybe next time.” Ujar Dato’ Darwisy sedikit kecewa.
            “My mum lah, Dato’.”
            Kedengaran lelaki itu ketawa kecil.  
            “Tak apalah kalau macam tu. Esok i call lagi. You take care yourself ya.” Ujarnya sebelum panggilan dimatikan. Farah tersenyum sendiri. Hatinya sedikit berbunga apabila menerima panggilan daripada lelaki yang bergelar majikannya itu.
            Tilam yang dibaluti dengan cadar dari gabungan warna merah hati dan putih itu diusap lembut. Badannya dipusing ke kiri kanan. Rambutnya yang panjang itu dipintal sambil tersenyum mengingati perbualannya dengan lelaki itu sebentar tadi.
            “Kalau Amy tahu, mampus aku. Seminggu belum tentu mulut dia akan diam.” Ujarnya. Lalu dia bangun dari perbaringan, beg-beg plastik dicapainya. Semua isi didalam beg tersebut dikeluarkannya. Dia membelek satu persatu pakaian yang dibelinya.
            “Shopping dekat mana tadi?” Sergah Puan Raihana yang tiba-tiba muncul itu. Farah mengurut dada.
            “Ibu.... terperanjat Farah tahu?”
            Wanita anggun itu ketawa. Dia turut melabuhkan punggungnya di atas katil anaknya itu.
            “Farah shopping dekat Mid Valley saja Ibu. Ibu pergi mana tadi?”
            “Ibu pergi office sekejap tadi. Ibu lupa ada appointment dengan client hari ni. Awak bila nak teman ibu dekat office?”
            Farah tertunduk mendengar pertanyaan ibunya itu. Pakaian yang dibelinya itu dimasukkan kedalam beg plastik kembali. Lalu dia merebahkan kepalanya ke atas peha ibunya itu.
            “Farah bukan tak nak ibu. Tapi... Farah suka dengan apa Farah buat sekarang Ibu. Erm... Macam nilah bu. Farah janji dengan ibu, cukup saja 5 tahun Farah disitu Farah akan balik sini dan kerja dengan ibu. Boleh kan ibu?” Ujar Farah bersungguh-sungguh.
            “Okaylah kalau macam tu. Ibu pegang kata-kata Farah ni tau?”
            Farah mengangguk.
            “Umur awak dah masuk 27 tahun kan, Farah?” Soal Puan Raihana tiba-tiba.
            “Ha’ah bu. Kenapa?”
            “Tak lama dah nak masuk 30 tahun. Dah terlebih sesuai sangat awak nak fikir pasal kahwin. Awak dah ada special boyfriend ke belum?”
            Farah menelan liur apabila mendengar soalan ibunya itu. Perkara yang paling dia ingin mengelak untuk menjawab.
            “27 tu kan muda lagi bu.” Jawab Farah selamba.
            “Muda apa bendanya Farah oi? Umur awak tu sepatutnya dah ada 2 anak tahu?”
            Farah ketawa apabila mendengar kata-kata ibunya itu.
            “Ala ibu. Rilaks lah. Nanti sampai seru, Farah kahwin ya bu. Ibu jangan risau.”
            “Mana tak risau? Awak tu sibuk sangat kerja. Sampai tak ingat kehidupan sendiri. Kalau tahun ni awak tak jumpa calon suami jugak, ibu nak buat sesuatu untuk awak.” Ujar Puan Raihana berbaur tegas.
            Gulp! Dia membetulkan duduknya.
            “Okay-okay. Ibu jangan risaulah.” Ujar Farah sedikit mati akal. Dia sendiri buntu ketika itu.  

SELEPAS menunaikan solat Subuh di pagi Ahad itu dia berkira untuk menyambung tidur namun hasratnya dibatalkan seketika apabila dia membaca pesanan ringkas daripada ketuanya itu.  Dia menggaru kepala.
            Perasaan dihatinya bercampur baur. Bagasi kecil yang telah siap sedia itu dipandangnya. Jam didinding sudah menunjukkan ke angka 6.40 pagi. Dia merebahkan badannya ke katil. Sekejap sahaja dia sudah dibuai mimpi.
            Ketukan pintu yang agak kuat itu mengejutkannya dari lena. Dengan malas dia bangkit daripada katil dan menuju ke pintu. Matanya yang masih layu itu digosok perlahan. Wajah ibu dipandangnya.
            “Bertuah punya anak dara. Awak tahu tak sekarang dah pukul berapa? Kawan awak dah tunggu dekat bawah tu. Dah 15 minit dia tunggu awak dekat bawah tu.” Leter Puan Raihana sambil menampar lembut bahu anak tunggalnya itu.
            Farah membulatkan matanya apabila melihat jam didinding. Tanpa mempedulikan ibunya yang sedang membetulkan cadar, dia terus berlari ke bilik air. Puan Raihana menggeleng melihat gelagat anaknya itu.
            “Cepat sikit Farah. Tak baik buat orang tunggu lama-lama.” Pesan Puan Raihana sebelum dia melangkah keluar dari bilik anaknya itu.

“DAH lama kenal you dengan Farah?” Soalan itu terpancul dari bibir Puan Raihana. Dato’ Darwisy tersenyum.
            “Lama juga lah Aunty. Sejak i take over company tempat Farah kerja. Dalam 2 tahun juga lah.”
            “Ooo... You ni bos Farah lah yer?”
            Dato’ Darwisy mengangguk.
            “Sekejap lagi turunlah si Farah tu. You dah breakfast? Kalau belum, marilah breakfast sekali.” Ajak Puan Raihana mesra. Dato’ Darwisy mengangguk. Dia membuntuti langkah Puan Raihana menuju ke ruang makan.
            Beberapa minit kemudian, Farah muncul di ruang tamu bersama bagasinya. Dia melilau mencari kelibat ibu dan Dato’ Darwisy di perkarangan rumah. Kemudian dia melangkah menuju ke ruang makan yang berhampiran dapur kering.
            “Hah... Dah siap pun tuan puteri. Mari, breakfast dulu.” Sergah Puan Raihana apabila terpandang anak tunggalnya itu. Dengan senyuman yang pahit, Farah akur. Dia mengambil tempat bertentangan dengan lelaki itu ketika di meja makan.
            “Sorry. I terlambat.” Ujar Farah sebelum menghirup air teh. Lelaki itu hanya mengangguk dan tersenyum. beberapa saat kemudian Puan Raihana meninggalkan mereka berdua diruang makan itu.  Tanpa sepatah kata, mereka menghabiskan sarapan dalam pinggan masing-masing.
            “Mana beg you?” Tanya Dato’ Darwisy sebaik sahaja mereka melangkah ke ruang tamu.
            Farah memuncungkan bibirnya. Dato’ Darwisy ketawa melihat muncung gadis itu.         “You nak i ikat muncung you ke? Beratnya mulut you nak bercakap.” Ujar Dato’ Darwisy sebelum dia meninggalkan gadis itu.
            Puan Raihana yang sudah berada diruang tamu tersenyum melihat kemesraan anaknya dengan lelaki itu. Farah menghampiri ibunya untuk bersalaman sebelum bertolak pulang ke Kuala Terengganu.
            “Ibu, Farah balik dulu ya?” Ujar Farah menahan sebak didada. Dia mencium tangan ibunya sebelum dia memeluk erat ibunya itu.
            “Farah take care dekat sana ya? Rindulah ibu dekat Farah nanti.” Ujar Puan Raihana sambil tersenyum.
            “Kalau Farah tak banyak kerja, Farah janji Farah akan cuba balik sini. Ibu take care juga tau? Jangan asyik kerja saja.” Ujar Farah sambil melangkah beriringan ke pintu utama. Dato’ Darwisy yang sudah berdiri di muka pintu itu turut menyalami tangan Puan Raihana.
            “Am tolong tengokkan Farah dekat sana ya?”
            Farah memandang tepat ke arah Dato’ Darwisy sebaik sahaja terdengar panggilan yang digunakan ibunya. ‘Am?’ Bisiknya.
            “InshaAllah Aunty.”
            “Farah pergi dulu ya ibu. Nanti sampai, Farah call ibu.” Ujar Farah lembut. Dia mengatur langkah menuju menghampiri kereta kesayangannya itu. Dengan berat hati dia menutup pintu keretanya. Dengan perlahan kereta yang dipandu Dato’ Darwisy itu bergerak perlahan keluar dari perkarangan banglo 2 tingkat itu.

“YOU anak tunggal ke Cik Farah?” Dato’ Darwisy memulakan perbualan setelah kereta yang dipandunya sudah pun berada di atas jalan raya menuju ke pantai timur.
            “Yes. Kenapa Dato’ tanya?”
            “No wonderlah manja sangat. By the way Cik Farah, please stop calling me Dato’. Panggil i Am saja.” Ujar Dato’ Darwisy. Dia sedikit tidak selesa dengan panggilan diri antara mereka. Dia ingin lebih mengenali gadis disebelahnya itu.
            “Kenapa pula? Dato’ kan bos i. Sepatutnya i yang kena cakap macam tu. Tak payah ber’cik’-‘cik’ dengan i.” Bantah Farah selamba. Dato’ Darwisy yang tenang memandu itu dipandang sekilas.
            “Kalau you panggil i macam itu lagi, alamatnya lambatlah kita akan sampai di Terengganu.” Sengaja dia mengurangkan kelajuan kereta. Dia memandang Farah sambil menguntum senyuman. Farah mencebik. Jauh disudut hati, ada lagu sedang bernyanyi riang.
            “You okay ke kalau i drive macam ni?” Dato’ Darwisy menduga gadis itu lagi. Kali ini meter kelajuan sudah pun menurun ke angka 40kmh. Farah menjeling ke arah lelaki disebelahnya itu. ‘Gila ke apa? Kalau drive macam ni alamatnya bergelap dalam keretalah.’ Ujarnya dalam hati.
            “Yelah Am. Better you drive elok-elok sebelum i kick you out.” Giliran dia pula mengugut lelaki itu. Am a.k.a Dato’ Darwisy ketawa kuat apabila mendengar ugutan gadis bertudung ungu itu.
            “Thanks.” Ucap Am sambil menguntum senyuman. Kereta dipandu lelaki itu bergerak seperti biasa mengikut kadar kelajuan biasa. Sepanjang perjalanan itu lelaki itu lebih banyak membuka mulut berbanding Farah yang lebih selesa bersuara bila perlu itu.
            Sepanjang hampir 4 jam mereka berdua di dalam kereta, Farah dapat merasakan keakraban mereka yang baru terbina itu. Serba sedikit dia dapat merasakan sikap prihatin lelaki itu terhadap dirinya. Sepanjang dalam perjalanan itu juga, dia dapat mengenali ketuanya itu. Ternyata personaliti lelaki itu sudah berjaya menarik dirinya untuk menyukai lelaki itu. ‘Farah..oh Farah.. kenapa cepat sangat kau macam ni?’ Farah menyorok senyuman dibibirnya.
            Suasana yang sepi itu sedikit terganggu apabila telefon bimbit Farah berbunyi. Dia tersenyum apabila melihat nama temannya tertera diskrin. Lantas dia menjawab panggilan itu. Dengan automatik lelaki itu memperlahankan radio.
            “Hello.”
            “Farah... kau dekat mana?” Kedengaran suara Amy sedikit serak dihujung talian. Farah mengerutkan dahinya.
            “Kau kenapa? Ada masalah ke? Aku ada dekat Highway Gambang.” Ujar Farah sambil memandang lelaki disebelahnya itu.
            “Ya Allah. Nasib baik kau belum lepas Kuantan lagi. Kereta aku rosak. Aku dekat Kuantan lagi. Boleh kau ambil aku sekali tak?”
            Farah terdiam. Dia memandang lelaki disebelahnya itu. ‘Mati aku.’ Desisnya.
           


Anna Rose