23 October 2012

Be Mine, My Maid? Episode 4


Episod 4
PAGI Ahad itu, NurAlia merasa sungguh segar.  Kakinya sudah pun pulih sepenuhnya.  Dia mula membantu Bibik Biah mengemas rumah dan melakukan rutinnya.  Jam 9pagi barulah NurAlia mula menyediakan sarapan pagi untuk Tengku Haris.  Sebaik sahaja siap menyediakan sarapan pagi, NurAlia melangkah ke laman banglo untuk menyiram pokok bunga yang ditanam Engku Maryam di taman mini.  NurAlia sedikit teruja pada hari itu kerana dia telah dimaklumkan tentang kepulangan Tengku Hafiz bersama isterinya di banglo itu petang nanti.  Bibik Biah sibuk menyediakan juadah untuk menyambut kepulangan anak sulung keluarga itu dan majikannya.
Jam 11 pagi barulah Tengku Haris muncul di ruang makan yang berhampiran dapur basah itu.  NurAlia melayani Tengku Haris menikmati sarapan seperti biasa kemudiannya dia hilang ke dapur basah untuk membantu Bibik Biah menyiapkan juadah.
Tengku Haris hanya memerhati gelagat NurAlia yang cekap membuat kerja di dapur.  Dimatanya gadis itu cukup sempurna sekali.  Namun, seperti ada sesuatu yang menghalang dirinya untuk membuka pintu hatinya kepada gadis itu. Tengku Haris meraup wajahnya.  Dia menolak sedikit pinggan yang berisi nasi goreng itu lalu berdiri dan mengatur langkah ke ruang tamu.
Jam 3:30 petang Tengku Jamil dan Engku Maryam tiba di banglo mewah itu.  Engku Maryam seperti biasa akan bersalaman serta berpelukkan mesra dengan kedua-dua pembantu rumahnya itu.  NurAlia gembira melihat Engku Maryam yang sangat teruja untuk menyambut kepulangan anak sulungnya itu.  Sebaik sahaja menerima panggilan daripada Tengku Hafiz sebentar tadi, Tengku Haris terus bersiap-siap secepat yang mungkin untuk menjemput abangnya di KL Sentral. 
*****
Tengku Haris mencari-cari kelibat abangya sebaik sahaja tiba di KL Sentral.  Hatinya berdebar-debar untuk bertemu abangnya yang sudah lama tidak bertentang mata itu. Matanya memandang lelaki yang berkemeja hitam itu.  Bibirnya menguntum senyuman.  Tengku Haris mencuit bahu lelaki berkemeja hitam itu.  Cermin mata hitam yang dipakainya ditanggalkannya. Lelaki itu memandang Tengku Haris yang sedang tersenyum lebar itu.
“Ris!”
“Abang!” Mereka berpelukkan seketika.  Tiada lagi rindu yang bersarang setelah bertahun lamanya ridak bertentang mata.  Pelukan dileraikan. Tengku Haris menguntum senyuman ke arah seorang wanita yang setia menanti dibelakang Tengku Hafiz.  Terdetik sesuatu difikirannya tatkala melihat sepasang mata milik wanita itu.  Namun cepat-cepat bayangan seseorang dihapuskan.
“Ris, kenalkan... Syarifah Amira.  Isteri abang.” Tengku Hafiz memeluk bahu isterinya itu.
Tengku Haris menyambut huluran tangan kakak iparnya itu dengan membalas senyuman mesra. Masih lagi kaku.
“Eh... Jomlah balik.  Papa dengan Bonda dah lama tunggu abang kat rumah.”
Tengku Hafiz tersenyum. Dia menarik tangan isterinya dan mengatur langkah di belakang adiknya itu.  Tengku Haris bersyukur apabila melihat isteri abangnya yang masih belum dikenalkan kepada Papa dan Bonda itu.  Ternyata Tengku Hafiz tidak salah membuat keputusan untuk berkahwin. 
Kereta Audi A8 biru milik Tengku Haris meluncur laju menuju ke Bukit Antarabangsa.  Ketika di dalam perjalanan pulang itu, Tengku Haris dan Tengku Hafiz rancak sekali berbual daripada perihal  keluarga beralih pula perihal perniagaan. Sehinggalah mereka tiba di banglo mewah 3 tingkat itu.  Tengku Hafiz memandang isterinya yang berada di belakangnya itu.  Lalu dia menguntum senyuman penuh makna.
“Jom!” Tengku Haris mengangkat bagasi milik abangnya lalu melangkah masuk ke dalam banglo diikuti abangnya dan Syarifah Amira.  Tengku Jamil dan Engku Maryam sudah sedia menanti di ruang tamu utama. Tengku Haris hanya tersenyum melihat ibu bapanya yang seperti tidak sabar untuk bertemu abangnya itu.
Tengku Hafiz  yang berada dibelakang adiknya itu menggenggam kemas tangan isterinya    sambil kakinya melangkah masuk ke dalam banglo itu.  Dia cuba meyakinkan dirinya untuk berdepan dengan kedua orang tuanya.
“Papa, Bonda... Hafiz dah balik.”  Itulah ucapan pertama yang terlahir dibibir Tengku Hafiz apabila matanya tepat memandang Tengku Jamil dan Engku Maryam.
Tengku Hafiz berlari anak mendapatkan Papa dan Bondanya yang setia menanti kepulangannya itu.  Tengku Hafiz memeluk erat orang tuanya itu.
“Abang dah balik, Bonda. Maafkan Abang.”
Pelukan direnggangkan.  Airmata yang ditahan akhirnya merembes jua. Engku Maryam menggeleng mendengar kata-kata anaknya itu. Tengku Hafiz menarik tangan isterinya yang menjadi pemerhati itu.
“Papa, Bonda, ini isteri Abang, Syarifah Amira.  Sayang, inilah parents I.”
Syarifah Amira menguntum senyuman manis lalu menyalami tangan mentuanya dengan penuh hormat.  Engku Maryam lantas memeluk erat menantunya itu.  Tengku Jamil menepuk bahu Tengku Hafiz. Kagum dengan pilihan anaknya itu.
“Pandai Abang cari isteri. Papa bangga.” Ujar Tengku Jamil sambil menepuk bahu anak sulungnya itu.  Tengku Hafiz tersenyum lebar mendengar kata-kata yang terlahir dari bibir Tengku Jamil itu.  Terselit rasa bersyukur kerana doanya telah dimakbulkan Tuhan.
“Dah..Dah.... Macam jejak kasih dah Ris tengok.  Ris dah lapar ni..” Suara Tengku Haris yang entah dari mana munculnya itu memecahkan suasana ruang itu.
“Tak menyempat kamu ni Haris. Tak malu ke dengan kakak ipar kamu ni Ris? Minta maaflah Amira, Haris ni memang macam tu.”
Tengku Haris ketawa apabila cubitan yang sepatutnya hinggap di lengannya berjaya dielak. Mereka menjamu selera petang itu dengan riuh sekali. Maklumlah sudah lama tidak bertemu. Pelbagai pertanyaan dituju kepada menantu pertama keluarga itu dan sesekali Tengku Haris menjadi bahan usikkan Engku Maryam dan Tengku Jamil. Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata sedang asyik memandang mereka yang sedang bahagia itu.  NurAlia menyeka airmatanya kemudian dia menghilang ke dalam bilik.  Fikirannya melayang mengingatkan Arwah Mamanya yang sudah kembali ke Rahmatullah itu.
*****
Tengku Haris memandang NurAlia yang sedang termenung di dapur. Wajah itu tidak seceria selalu. Timbul tanda tanya dibenaknya apabila melihat kemurungan gadis itu.  Langkahnya diatur kemas merapati gadis itu. Bahu NurAlia dicuit kasar.
“Jauh termenung cik kak?! Dah tak ada kerja kau nak buat ke?”
NurAlia terus berdiri apabila ditegur begitu oleh Tengku Haris. 
“Tengku nak apa?” NurAlia cuba mengawal perasaannya apabila disergah sebegitu oleh Tengku Haris.
Timbul rasa kesal didalam hatinya namun dia tidak pasti apa yang perlu dia lakukan.
“Err... Tolong buatkan aku air milo.”
“Baiklah, Tengku.”  Tengku Haris menepuk dahinya sendiri. Tengku Hafiz yang baru sahaja muncul diruang dapur itu menggelengkan kepala apabila melihat kelakuan adiknya itu.  Lalu dia mengatur langkah menuju ke ruang tamu.  Tengku Haris yang baru sahaja muncul di ruang tamu itu, terus mengambil tempat duduk disebelah Tengku Jamil.
“Haa.. Ris, Abang kamu ni ingat si Alia tu isteri kamu.”
Tengku Hafiz ketawa mendengar kata-kata papanya itu.
“Muda sangat pembantu rumah kita ni, Ris.  Nasib baik Abang tak tanya dia tadi.”
Tengku Haris tersengih mendengar kata-kata abangnya itu.  Tak lama kemudian NurAlia muncul bersama semug air milo. Tengku Hafiz memerhati tingkah NurAlia yang meletakkan mug itu di atas meja disisi Tengku Haris. Segaris senyuman terukir dibibirnya.  Kemudian NurAlia meminta diri untuk ke dapur.  Dia tidak betah dengan 3pasang mata yang seperti memerhati dirinya sebentar tadi. 
“Macam mana dia boleh kerja dekat sini Papa?”
Tengku Jamil memuncungkan bibirnya ke arah Engku Maryam yang sedang leka berbual dengan menantu barunya itu.  Tengku Hafiz ketawa kecil.
“Bonda tu, dia bimbang Bibik Biah tak larat kemas rumah kita ni sorang-sorang. Sebab itulah Bonda minta tolong Pakcik Karim kamu carikan.  Si Hariz ni, suka membuli si Alia tu. Betul tak Ris?” Tengku Haris mengerutkan dahinya apabila namanya disebut.  Tengku Hafiz ketawa melihat gelagat Tengku Haris.
“Mana ada Ris buli dia. Papa ni memandai aje kan?  Abang ni pun, takkan Ris nak cari perempuan macam tu buat bini. Ris ada tastelah bang." Ujar Tengku Haris dengan angkuh sekali. Tanpa disedarinya, ada yang sedang terluka dengan kata-kata yang baru sahaja terlahir dari bibir lelaki itu.
Tengku Jamil menggelengkan kepalanya apabila mendengar kata-kata anak bujangnya itu. Tengku Hafiz mencebik ke arah adiknya itu. "Oh...sedap Ris cakap ye. Abang nak tengok nanti macammana. Mana nak tahu kan, satu hari nanti ada orang tu jadi gila talak ke apa kan.  Allah tu Maha Berkuasa, Ris." Ujar Tengku Hafiz sambil mencuit bahu adiknya itu lalu berlalu menghampiri isteri dan Engku Maryam yang leka berbual itu.  Tengku Jamil hanya ketawa melihat reaksi Tengku Haris yang seperti mati akal itu.
*****
USAI menunaikan solat Subuh, NurAlia melipat sejadah lalu diletakkan di atas rak seperti biasa. kakinya diatur menuju ke katilnya. otaknya ligat mengingati kata-kata Tengku Haris semalam.
'Kenapa aku nak rasa macam ni? Sedangkan aku bukan ada perasaan dekat Tengku Haris pun. Dahlah Alia, tak payah nak rasa terluka dengan apa yang dia cakap semalam. Kau dengan dia bukan ada apa-apa pun.' NurAlia mengeluh berat. Dadanya diurut perlahan. Jam di dinding dipandang sekilas. Lantas dia berdiri dan menapak perlahan menuju ke pintu. Dia ingin melupakan segalanya dan memulakan harinya dengan perkara-perkara yang boleh menceriakan dirinya.

No comments:

Post a Comment

BUNGA CINTA HATI EPISOD 20

Episod 20 K ATA-KATA Ammar petang tadi sedikit sebanyak mempengaruhi Dato’ Darwisy.   Berulang kali otaknya mengulangi ka...