27 November 2012

Be Mine, My Maid? Episode 8


Episode 8
Setibanya Tengku Haris dan NurAlia di Kuantan, kereta yang dipandu oleh Tengku Haris dipandu laju masuk ke taman perumahan elit di Bukit Istana.  Beberapa minit sahaja mereka tiba di banglo mewah milik Tengku Jamil dan Engku Maryam. 

NurAlia terpegun melihat banglo mewah milik keluarga Tengku Haris. Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki di banglo itu. Tengku Haris memberhentikan keretanya di porch banglo itu. NurAlia bagaikan kaku disebelahnya.

“Kau ni kenapa?” Tanya Tengku Haris. Hairan.

“Takde apelah Tengku. Saya takutlah nak jumpa Mak Engku.” Ujar NurAlia menahan getar didadanya.

“Kau jangan panggil aku Tengku depan Bonda nanti. Tak payah formal sangat. Saya, awak pun dah cukup. Nanti kalau Bonda tanya apa-apa kau kelentong ajelah. Tapi tak payahlah sampai tak masuk akal pulak.” Terang Tengku Haris panjang lebar. Tengku Haris memandang Engku Maryam yang sudah menunggu mereka di pintu utama banglo itu. Lantas mereka keluar dari perut kereta itu serentak. NurAlia cuba menahan debaran didadanya. Tengku Haris menghampiri Engku Maryam lalu menyalami wanita itu. Begitu juga NurAlia.

“Alia pun ada? Ingatkan anak dara mana tadi Haris bawa balik.” Sapa Engku Maryam ketika NurAlia menyalaminya. Tengku Haris hanya tersenyum.

“Masuklah Lia.”

NurAlia memandang setiap sudut banglo itu dengan rasa kagum. Begitu ekslusif hiasan dalaman banglo itu.
 
“Papa tak balik pejabat lagi ke?” Tanya Tengku Haris.

“Ada kat atas tu. Baru aje balik tadi. Duduk lah Lia. Tak payah nak seganlah.” Ujar Engku Maryam mesra. Tengku Haris ketika itu sudah menghilang. NurAlia melilau segenap ruang tamu itu. Cantik sungguh.

*****
“Kami nak kahwin.” Ringkas sahaja ayat yang keluar dari mulut Tengku Haris ketika mereka sedang minum petang di halaman. Engku Maryam membulatkan matanya memandang anak lelakinya. Begitu juga Tengku Jamil yang duduk disisi Engku Maryam.  NurAlia hanya diam disebelah Tengku Haris.

“Kau ni Haris biar betul? Bonda tak suka kau main-mainkan hal nikah kahwin ni. Abang, tengok anak awak ni.” Bentak Engku Maryam.

Tengku Haris mendengus. Tengku Jamil menggelengkan kepalanya.

“Ris, Papa tak nak Ris ambil mudah hal kahwin ni. Berdosa.” Celah Tengku Jamil.

“Ris tak bergurau Papa, Bonda. Ris dah ambil keputusan untuk ambil Alia sebagai isteri Ris. Dialah perempuan yang Ris cari selama ni. Ris tahu, Ris dah lukakan hati Bonda sebab memilih Sara dulu. Tapi sekarang, hanya Alia yang dapat bahagiakan  Ris, Bonda.” Terang Tengku Haris panjang lebar. NurAlia sedikit pun tidak menyampuk.  Engku Maryam merenung NurAlia yang langsung tidak bersuara itu.

“Bonda dah aturkan perkahwinan kamu dengan adik ipar abang kamu, Ris. Sebab Bonda yakin kamu tidak akan dapat jumpa perempuan lain dalam tempoh yang Bonda tetapkan tu.” Ujar Engku Maryam tegas. Tengku Jamil memandang isterinya.

“Bonda?  Tak adil Bonda buat macam ni. Ris tak kenal siapa adik ipar abang tu. Macammana Bonda nak kahwinkan Ris dengan perempuan tu? Bonda tak fikir kebahagiaan Ris ke?” Bentak Tengku Haris berang.

“Yam, betul cakap Haris tu. Abang tak setuju dengan tindakan Yam ni.” Pujuk Tengku Jamil. Tengku Haris mengeluh perlahan.

“Lagipun tempoh yang Bonda beri pada Ris masih lagi ada. Tak adil Bonda buat macam ni. Unless kalau Ris tak dapat carikan calon isteri Ris dalam waktu yang Bonda tetapkan. Ris tak nak fikir tentang rancangan Bonda tu. Bonda tak adil!” Tengku Haris menahan amarahnya.

Engku Maryam memandang anak lelakinya itu.

“Baiklah, Bonda akan batalkan semuanya dan Bonda terima pilihan kamu ni. Maafkan Bonda Ris, Lia.” Ucap Engku Maryam lembut. Tengku Jamil hanya tersenyum.

“Kita sepatutnya bersyukur dengan pilihan Ris ni Yam. Lagipun Lia ni bukan orang yang kita tak kenal. Papa yakin Lia boleh bahagiakan Ris.” Ujar Tengku Jamil sambil menepuk bahu anaknya itu.

Tengku Haris sempat meminta maaf kepada Engku Maryam kerana ketelanjuran kata-kata sebentar tadi.  Engku Maryam juga telah berjanji untuk membantu segala persiapan perkahwinan mereka.

NurAlia dan Engku Maryam sibuk menyediakan makan malam di dapur manakala Tengku Haris dan Tengku Jamil sedang leka berborak sambil menonton Buletin Utama di ruang tamu. Walaupun NurAlia sedikit kekok dengan majikannya itu, namun dia cuba untuk selesakan diri dengan wanita anggun itu.

*****
Tepat jam 6:30 pagi, NurAlia sudah pun terjaga dari lenanya. Lantas dia bangkit dari katil yang empuk itu lalu dia menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.  Tidak sampai 10 minit NurAlia sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh.

Selesai mengaminkan doa, dia melipat sejadah dan telekung lalu diletak didalam beg kecil yang dibawanya. Rambutnya yang lurus itu disanggul kemas. Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, dia terus mengatur langkah keluar dari bilik itu.

Kakinya diatur kemas menuju ke bahagian dapur basah banglo itu. NurAlia memaniskan wajahnya apabila matanya bertembung dengan pandangan pembantu rumah itu. Ramah sekali pembantu Indonesia itu. NurAlia membantu wanita itu menyediakan sarapan pada pagi itu.

NurAlia mengatur perlahan menuju ke halaman banglo itu.  Dia menyentuh sekuntum bunga mawar yang tumbuh mekar di halaman banglo itu. Satu persatu bunga yang mekar disentuhnya. Hatinya tenang apabila melihat bunga-bunga itu tumbuh dengan segar sekali.

Tiba-tiba ada satu suara yang memanggil namanya. Lantas dia mencari pemilik suara itu.  Tengku Haris yang kemas berpakaian sukan itu dipandangnya.

“Tolong ambilkan air kosong. Cepat!!.” Jerit Tengku Haris.

NurAlia menjeling lelaki itu. Lalu dia berlari anak menuju ke pintu utama banglo itu. Beberapa minit kemudian dia muncul dengan dulang yang berisi segelas air dan tiga keping sandwich.

Tengku Haris yang sedang menumpukan pandangannya pada telefon bimbitnya itu hanya memandang NurAlia sekilas sahaja ketika gadis itu meletakkan dulang itu diatas meja kaca di halaman. Sebaik sahaja dulang itu diletakkan, NurAlia terus ingin menapak menuju ke arah kolam ikan yang terletak berhampiran dengan pintu pagar.  Namun, kakinya kaku apabila namanya dipanggil oleh Tengku Haris yang meminta dia menemani lelaki itu.  Walaupun berat hati, namun dia akur juga dengan permintaan lelaki itu.

“Aku dan Bonda dah bincang semalam. Tentang tarikh nikah kita. Bonda dengan Papa dah setuju nak langsungkan pada pertengahan bulan depan. Aku harap kau bersedia.” Terang Tengku Haris tegas.

NurAlia mengeluh perlahan. ‘Ya Allah, bersediakah aku untuk menempuhi alam baru yang bakal aku lalui nanti?’ Ucapnya didalam hati.

“Tentang persiapan nikah, kau tak perlu risau. Sebab aku akan minta Datin Rohana selesaikan semua.” Ujar Tengku Haris sambil mengunyah sandwich.

NurAlia cuma mengangguk.

“Bila kita nak balik KL?” Tanya NurAlia tiba-tiba.

“Itu aje yang kau fikir Alia? Aku ingatkan dalam kepala kau tu, tengah serabut fikir pasal persiapan kahwin nanti.” Rungut Tengku Haris

NurAlia hanya tersengih mendengar rungutan lelaki itu.

“Lepas lunch nantilah kita balik KL. Dah tak sabar sangat aku tengok kau ni.” Ujar Tengku Haris. Lalu dia mengatur langkah menuju ke pintu utama banglo yang terbuka luas itu. NurAlia mendengus geram. Lalu dia mengemas meja kaca itu dan mengatur langkah ke arah pintu utama.


26 November 2012

Be Mine, My Maid? Episode 7



Sejak pertemuannya dengan Encik Hakim tiga hari yang lalu, NurAlia tidak lagi mendengar apa-apa perkembangan mengenai proses menjejaki ayahnya.  Terimbau kembali pertemuannya dengan Encik Hakim tempoh hari, NurAlia menjadi gelisah.  Peringatan terakhir Encik Hakim yang masih lagi bermain difikirannya itu sedikit membimbangkan dirinya.

“You ni bila nak kahwin, Lia? I perlu jalankan apa yang masih lagi belum selesai, Lia. I know you understand what I’m trying to say. Ini wasiat Arwah, Lia. I harap you boleh tunaikan amanat Arwah secepat yang mungkin. So, i boleh jalankan tugas i dengan cepat.” Kata-kata itulah yang sentiasa menghantuinya sejak dia pulang dari berjumpa Encik Hakim beberapa hari yang lalu.

TENGKU Haris memerhati NurAlia dari tingkap biliknya. Gadis itu yang sedang menyiram pokok ditaman mini itu kelihatan muram sahaja. Dia masih memikirkan idea yang tiba-tiba muncul selepas melihat kelibat NurAlia semasa gadis itu menghidangkan sarapan pagi untuknya.

“Boleh ke dia terima permintaan aku ni? Macammana aku nak bagitahu dia ni...” Ujar Tengku Haris dengan gelisah.

Sejak Engku Maryam dan Tengku Jamil terbang ke Bandung semalam, perasaannya sedikit tenang kerana dia dapat merehatkan otaknya daripada diasak dengan pertanyaan yang sama daripada Bondanya.  Tengku Haris menapak laju keluar dari kamarnya. Dia ingin berbincang dengan NurAlia. Hanya itu cara yang dia ada untuk menyelamatkannya dari menikahi gadis pilihan Bondanya.

Sesampainya di tingkat bawah, Tengku Haris terus menuju ke dapur untuk mendapatkan NurAlia.  Bibik Biah yang sedang menonton tv kecil dibiliknya itu sedikit terperanjat apabila menyedari kehadiran Tengku Haris dihadapan pintu biliknya.

“Tengku nak apa-apa ke? Boleh Bibik buatkan?” tanya Bibik Biah kepada Tengku Haris

“Alia mana Bik? Saya tengok kat taman takde pulak dia.”

Bibik Biah tersenyum.

“Dia kat kolam. Tadi dia cakap nak rehat kat situ.” Ujar Bibik Biah.

Tengku Haris terus mengatur langkah menuju ke kolam renang yang terdapat di sebelah taman mini banglo itu. Matanya terarah kepada sebatang tubuh yang sedang berdiri menghadap kolam itu.

“Hoi Cik kak! Kalau ye pun nak mandi kolam tu, agak-agak la. Takkan kau nak pakai kain macam tu nak mandi kot.” Jerit Tengku Haris dari jauh.

NurAlia lantas memusingkan badannya. Tengku Haris yang berjalan menghampirinya itu dipandang sekilas.

“Siapa cakap saya nak mandi kolam ni? Sorry sikit ye.” Balas NurAlia.  NurAlia terus menapak perlahan menuju kearah kerusi rehat yang terdapat berdekatan dengan kolam renang itu.  Tengku Haris memandang NurAlia yang sedikit dingin itu.

“Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau ni.” Ujar Tengku Haris perlahan.

NurAlia memandang Tengku Haris yang kelihatan sedang gelisah itu.

“Apa yang Tengku nak cakap ni?” Ujar NurAlia apabila melihat wajah Tengku Haris yang sedikit muram itu. Lelaki itu melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan gadis itu.

“Aku tak tahu nak cakap macam mana, tapi aku harap kau dapat tolong aku.” Ujar Tengku Haris perlahan.
NurAlia memandang lelaki disebelahnya sekilas.  Otaknya mula memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal didengarinya. 

“Cakap jelah Tengku. Tak payah nak segan dengan saya. Kalau saya dapat tolong, In Shaa Allah saya akan bantu Tengku.” Ujar NurAlia yang sudah berdiri menghadap lelaki itu.

Tengku Haris menarik nafasnya perlahan. “Sanggup tak kau kahwin dengan aku untuk beberapa bulan?  Aku betul-betul perlukan pertolongan dari kau.”  Ujar Tengku Haris. NurAlia terduduk apabila terdengar permintaan Tengku Haris.

“What???!!! Kahwin? Dengan awak? Tengku Haris?” Jerit NurAlia kuat. Tengku Haris cepat-cepat menutup mulut NurAlia yang jelas sekali terperanjat dengan permintaannya sebentar tadi.

“Kau dan aku, kita kahwin. Untuk beberapa bulan aje. Kau letaklah apa aje syarat pun, Lia. Aku takkan bantah.” Rayu Tengku Haris bersungguh-sungguh.

“Kenapa saya? Tengku sendiri dah ada girlfriend.  Kenapa tak kahwin aje dengan Cik Sara tu?” Tanya NurAlia.

Tengku Haris mengeluh perlahan. “Antara aku dengan Sara dah takde apa-apa hubungan lagi. Bonda cuma bagi aku tempoh selama sebulan untuk cari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri aku. Aku betul-betul buntu sekarang, Lia. Kau sorang aje yang boleh tolong aku.” Ujar Tengku Haris perlahan.

NurAlia merenung air kolam yang kelihatan tenang itu.  Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia katakan ketika itu. Akhirnya dia meminta sedikit masa untuk memikirkan permintaan Tengku Haris itu.  Tengku Haris mengeluh perlahan. Matanya hanya memandang pemergiaan NurAlia itu. Namun, jauh disudut hatinya dia mengharapkan sebuah jawapan yang dapat membantunya.

*****
PUAS dia memaksa dirinya untuk tidur namun matanya seperti tidak mahu lelap.  Kepalanya sudah sarat dengan memikirkan permintaan Tengku Haris petang tadi.  Walaupun dirinya jelas sekali terkejut dengan lamaran yang tidak diduga itu, namun hatinya sedikit lega kerana sedikit sebanyak lamaran Tengku Haris dapat membantu dirinya untuk menyelesaikan urusan pembacaan wasiat Arwah Mama.  Syarat? NurAlia tersenyum penuh makna.

Lantas dia bangkit dari perbaringan, lalu dia mencapai diari dan sebatang pen yang terletak diatas meja sisi katilnya. Tangannya laju sekali menulis didalam buku itu. Akhirnya Jam 3 pagi barulah dia dapat melelapkan matanya.


SELESAI menunaikan solat Subuh pada jam 6:30 pagi, NurAlia seperti biasa akan membantu Bibik Biah untuk menyediakan sarapan pagi.  Kebiasaannya Tengku Haris akan muncul diruang makan pada jam 7:30 pagi dan akan bertolak ke pejabat 5 minit sebelum jam bergerak ke angka 8. 
Bibik Biah mengerutkan dahinya melihat gelagat NurAlia yang seperti cacing kepanasan itu. Gadis itu tidak henti-henti mengintai di sebalik dapur kering itu.

“Menghendap apa tu Lia?” Tanya Bibik Biah selamba.

“Tengku tak pergi pejabat ke hari ni Bik? Biasa waktu macam ni dah turun sarapan.” Ujar NurAlia tanpa segan silu. Bibik Biah tersenyum mendengar kata-kata NurAlia itu.

“Haii... Ada orang rindu kat Tengku ke? Bibik tengok macam tak sabar je.” Usik Bibik Biah yang sedang mengelap kabinet.  NurAlia membulatkan matanya ke arah Bibik Biah yang sedang ketawa melihat reaksinya itu.

“Ada-ada jelah Bibik ni. Saya pelik ajelah.” Ujar NurAlia lantang. Kakinya diatur menghampiri ruang tamu dengan bulu ayam ditangan kanannya. Sedang dia asyik membersihkan meja kecil diruang tamu, tiba-tiba kedengaran satu suara yang menegurnya.

“Alia...” Tegur Tengku Haris.

NurAlia terus berdiri apabila melihat Tengku Haris yang sedang berdiri tegak didepannya itu.

“Kau... dah fikir pasal semalam?” Tanya Tengku Haris perlahan.

NurAlia membalas pandangan lelaki kacak dihadapannya. Entah kenapa dadanya berdengup kencang tatkala matanya bertembung dengan sepasang mata coklat lelaki itu.

“Erm... Saya dah fikir masak-masak, Tengku. Saya akan bantu Tengku, tetapi bersyarat!”

Tengku Haris melabuhkan punggungnya diatas sofa apabila mendengar kata-kata NurAlia. Hatinya lega.

“Baiklah. Aku setuju dengan semua syarat kau tu. Kau dah setuju ni pun dah cukup bagi aku.” Ujar Tengku Haris dengan penuh yakin.  NurAlia mencebik.

“Takkan awak sikit pun tak nak tahu apa syarat-syaratnya?” Tanya NurAlia.

“Kan aku cakap aku setuju dengan segala syarat kau tu. Dahlah. Pukul 9  nanti kau tunggu aku kat porch. Ikut aku keluar.” Arah Tengku Haris tegas. NurAlia hanya menghantar pandangannya kearah Tengku Haris yang sudah menghilang disebalik ruang makan itu.

*****
NURALIA kelihatan manis sekali walaupun hanya mengenakan baju kurung moden berwarna ungu itu. Rambutnya yang panjang melepasi bahu itu disanggul kemas. Bibik Biah seperti terpegun melihat NurAlia yang ayu berbaju kurung itu.

“Bik, macam nampak hantu je? Seram Lia tengok Bibik.” Ujar NurAlia. Bibik Biah ketawa.

“Cantiknya Lia. Tak sangka Bibik.” NurAlia memuncungkan bibirnya. Cantik ke? Mana ada.

“Takdelah Bik, biasa je.”

“Tengku nak bawa Lia kemana ni?” Tanya Bibik kehairanan.

“Entahlah Bik. Saya pun tak tahu.”

“Bibik rasa macam ada apa-apa aje kamu berdua ni. Lia bercinta dengan Tengku ye?” Usik Bibik Biah.

“Hish Bibik ni... kesitu pulak. Saya ni pembantu rumah aje Bik. Takkanlah dia nak pandang saya ni. Eh... saya keluar dulu lah Bik. Dah pukul 9 tu. Bibik jaga diri tau.” Lantas NurAlia berlari anak menuju ke pintu utama banglo itu.

NurAlia mendengus apabila Tengku Haris masih tidak muncul. ‘Janji pukul 9, dia tak turun pun lagi.’ Katanya didalam hati. Kakinya menapak menuju ke pintu utama untuk memanggil Tengku Haris. Namun, baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam banglo, Tengku Haris tiba-tiba muncul di muka pintu itu.
NurAlia mengurut dadanya perlahan. Matanya menjeling kearah Tengku Haris yang memandangnya itu.

“Apa kau berdiri kat situ lagi Lia oii?” Jerit Tengku Haris kepada NurAlia. Enjin kereta putih itu dihidupkan. NurAlia yang masam mencuka itu mengatur langkah menghampiri kereta mewah itu.  Tengku Haris hanya memandang gadis itu dari cermin keretanya. Sebenarnya dia sedikit terpegun melihat keayuan gadis itu sebentar tadi.  Namun kerana ego yang meninggi, dia membuang rasa itu jauh-jauh.

Keretanya dipandu laju menuju ke destinasi yang menjadi pilihan di hatinya. Di dalam kereta, NurAlia hanya diam membisu tanpa sebarang kata. Dia sendiri tidak pasti lelaki itu ingin membawanya kemana.
Hampir 20minit, kereta Tengku Haris diparkir betul-betul dihadapan sebuah butik pengantin yang sangat ekslusif hiasan didalamnya.  NurAlia memandang Tengku Haris tanpa sebarang kata. Tengku Haris mengerutkan dahinya.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Tanya Tengku Haris yang kehairanan melihat reaksi gadis disebelahnya itu.

“Kenapa awak bawa saya ke sini?” Pertanyaan NurAlia dibalas dengan sebuah senyuman yang penuh makna. Tengku Haris keluar dari perut kereta dan begitu juga NurAlia.

Tengku Haris menarik tangan NurAlia masuk ke dalam butik itu. Dadanya NurAlia berdengup kencang apabila tangan lelaki itu mencapai jemarinya.

“Aku nak kau pilih baju nikah kita nanti. Kau pilihlah warna apa yang kau suka. Aku tak kisah.” Bisik Tengku Haris.

NurAlia menarik tangannya dari genggaman lelaki itu. Pintu butik itu dibuka dari dalam. Mereka disambut oleh seorang pekerja butik itu dengan mesra sekali.

“Selamat datang...” Sapa pekerja butik itu dengan ramah.

NurAlia hanya menguntum senyuman. Matanya terarah pada tag nama pekerja itu. ‘Hanna’.  Tengku Haris menanggalkan cermin mata hitamnya.

“Boleh saya bantu Encik?” Tanya salah seorang pekerja butik itu kepada Tengku Haris. NurAlia yang berdiri disebelah Tengku Haris hanya diam seribu bahasa.

“I nak jumpa Datin Rohana. I, Tengku Haris.” Ujar Tengku Haris kepada pekerja yang bernama Wati itu.

“Silakan duduk dulu, Tengku, Cik. Saya panggilkan Datin.” Ujar Pekerja yang bernama Wati itu.
Tengku Haris memandang NurAlia yang duduk dihadapannya itu.

“Kalau ye pun, senyumlah sikit Alia oii. Aku nak kau pilih baju nikah kita. Dah, jangan cerewet sangat nanti.” Tegas Tengku Haris.

NurAlia mencebik. Majalah pengantin di atas meja dicapainya. Beberapa minit kemudian, seorang wanita anggun yang baru keluar dari satu sudut butik itu menegur mereka.  Tengku Haris terus berdiri begitu juga NurAlia.

“Tengku Haris. Muncul jugak you kat butik I ni. Apa khabar?” Sapa Datin Rohana, pemilik Butik ekslusif itu. Tengku Haris menarik tangan NurAlia mesra.

“Alhamdulillah, Datin.  I dah janji dengan Datin dulu nak jadikan you as my wedding planner right? Takkan i lupa, Datin. By the way, kenalkan Datin, this is my future wife, Alia. Sayang, kenalkan.. Datin Rohana. My client.” Ujar Tengku Haris mesra.

NurAlia menyambut huluran tangan Datin Rohana itu.

“Ingat lagi you yer. Dah lama i tunggu you muncul. So, bila tarikhnya?” Tanya Datin Rohana. NurAlia memandang Tengku Haris yang berdiri disebelahnya.

“Erm... Next month. I harap takde masalah dipihak Datin?” Tengku Haris memandang NurAlia yang jelas sekali terpana dengan jangkaan tarikh perkahwinan mereka itu.

“Next month? Erm.. i rasa takde masalah. Camni lah, you guys tengok katalog untuk baju dulu. Biar i listkan apa yang patut untuk you guys.” Ujar Datin Rohana.

Tengku Haris mengangguk. Salah seorang pekerja butik itu menghulurkan dua buah katalog kepada mereka. NurAlia hanya membelek satu persatu tanpa sebarang bantahan. Hampir 3jam mereka berbincang mengenai persiapan perkahwinan mereka.  Dengan masa yang singkat itu mereka sudah membuat keputusan untuk majlis perkahwinan mereka.


Usai sahaja perbincangan tentang persiapan perkahwinana mereka, Tengku Haris memandu laju menuju ke sebuah restoran untuk mengisi perut. Kemudian Tengku Haris memandu pulang ke banglo. Ketika didalam kereta, NurAlia mula meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Tengku Haris.

“Kenapa mesti bulan depan? Tak ke terlalu cepat? Pak Engku dan Mak Engku macammana? Awak dah beritahu mereka ke?” Tanya NurAlia bertalu-talu.

Tengku Haris memandang NurAlia sekilas. “Esok ikut aku ke Kuantan. Aku nak terus terang dengan dorang.” Kata Tengku Haris tegas.

NurAlia mengeluh. “Bibik biah macammana? Takkan nak tinggalkan dia sorang-sorang?”

“Itu kau tak perlu risau. Aku nak kau kemas barang kau. Ikut aku ke Kuantan. Oh ya, family kau macammana?”

“Mak dan ayah saya dah lama takda. Saya anak tunggal.” Ujar NurAlia perlahan.

Tengku Haris terdiam seketika. Rasa bersalah menerpa didalam dirinya.

“Aku minta maaf. Aku tak tahu.” Ucap Tengku Haris lembut.

NurAlia hanya diam. Begitu juga Tengku Haris.  

16 November 2012

Be Mine, My Maid? Episode 6




Hampir seminggu Tengku Haris menyepikan diri daripada ibubapanya dek kerana arahan Bondanya yang tidak masuk akal fikirnya.  Terbayang wajah gadis yang sedang bertakhta didalam hatinya. Tidak mungkin gadis itu ingin meninggalkan dunia glamor yang sedang dikecapi gadis itu kini. Satu keluhan terluah jua.  Gadis itu bukanlah seorang yang senang menerima suatu perubahan.

Sejak Tengku Haris berterus terang kepada Sara Amani tentang keadaan yang sedang dia lalui itu, gadis itu langsung tidak menghubunginya sehingga kini. Tempoh yang diberikan Bondanya semakin hari semakin hampir, namun dia masih belum menemui calon untuk dikahwini.

Tengku Hafiz mengerutkan dahinya apabila memandang adiknya  yang tiba-tiba muncul dibilik pejabanya itu.  Tangannya memberi isyarat kepada adiknya supaya masuk ke biliknya itu. 
“Kenapa ni Ris? Monyok je abang tengok?” Tanya Tengku Hafiz sambil memandang adiknya itu.  Tengku Haris melabuhkan punggung di atas sofa di dalam bilik pejabat abangnya itu. 
“Ris tak tahulah bang. Serabut sangat bila teringatkan Bonda ni.  Sampai hati Bonda buat Ris macam ni.” Ujar Tengku Haris sambil memicitkan kepalanya itu.
Tengku Hafiz tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu.  Dia sudah sedia maklum tentang itu kerana dialah yang memberi idea itu kepada Bondanya.
“Ada baiknya Bonda buat Ris macam tu.  Bonda nak sangat tengok Ris kahwin.  Lagipun Ris bukan muda lagi.” 
“Tapi kenapa  sampai Sara tu Bonda reject awal-awal? Ris tak ada kenal mana-mana perempuan lain selain dia tau tak? Macammana Ris nak cari calon dalam masa kurang sebulan lagi ni? Calon Bonda tu entah siapa pun Ris tak tahu. Mengarutlah semua ni!” Bentak Tengku Haris kuat. Tengku Hafiz mengatur langkah menghampiri adiknya.
“Percayalah cakap abang, Ris. Sara bukanlah gadis yang baik dan dia tidak sesuai untuk Ris. Kami dah siasat latar belakang dia.  Bonda tak nak hidup Ris merana nanti.” Ujar Tengku Hafiz perlahan. Cuba menenangkan keadaan.  Tengku Haris akhirnya meninggalkan abangnya sendirian didalam bilik itu.

“BONDA, abang rasa Ris tu dah tertekan sangat. Tengok dia kat office pun macam tak boleh nak buat kerja dah. Kesian pulak abang tengok dia.”  Ujar Tengku Hafiz sebaik sahaja terpandangkan kelibat Engku Maryam.
“Biarkan dulu dia tu. Bonda bukan apa, Bonda tak nak dia teruskan hubungan dia dengan budak perempuan tu. Bonda tak berkenan dengan keturunan budak perempuan tu.”
“Tapi bila abang fikirkan balik, tempoh sebulan tu macam singkat sangat. Nanti dia cari mana-mana perempuan yang tak tahu dari mana asal usul nanti lagi kita susah, Bonda. Cuba Bonda fikirkan balik.” Usul Tengku Hafiz sambil melurutkan tali lehernya.
Kata-kat Tengku Hafiz membuatkan Engku Maryam terdiam sejenak.
“Jangan risaulah, Bonda yakin Ris tu tahu nak carikan calon isteri dia.  Lagipun kalau dia tak dapat carikan bakal menantu Bonda, Bonda dah ada calonnya. Abang tak payah risaulah. Bonda tahulah nak buat macammana nanti.” Ujar Engku Maryam lalu mengatur langkah menuju ke tingkat atas meninggalkan anaknya diruang tamu itu.
Tengku Hafiz menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu. Dia mengatur langkah ke dapur untuk membasahkan tekaknya.  Telefon bimbitnya yang berbunyi didalam poketnya itu dicapainya segera. Apabila nama si isteri tertera diskrin telefon bimbitnya lantas satu senyuman lebar tergaris diwajahnya.  Rindunya pada si isteri yang sudah 2hari tidak bersua muka dek kerana Syarifah Amira pulang ke rumah keluarganya di Klang.

NurAlia memandang Bibik Biah yang sedang menyiram pokok dari tingkap biliknya. Lantas dia  mengatur langkah menuju ke pintu utama. Tanpa disangka dia terlanggar Tengku Haris yang baru sahaja pulang dari pejabat itu. NurAlia meminta maaf beberapa kali namun lelaki itu hanya menjeling tajam ke arahnya dan berlalu.  NurAlia memerhati Tengku Haris yang baru sahaja berlalu itu.  Selepas kelibat lelaki itu hilang dari pandangan, NurAlia melangkah ke laman.

Bibik Biah memandang pembantunya itu kehairanan.
“Eh Lia, kenapa macam pelik aje Bibik tengok kamu ni?” Tanya Bibik Biah apabila terpandangkan NurAlia yang seperti sedang kehairanan itu.
“Bibik, kenapa Lia tengok Tengku Haris macam orang tak betul aje Bik? Kusut semacam je. Tak pernah tengok dia macam tu.”
Bibik Biah tersenyum apabila terdengar pertanyaan pembantunya itu.
“Dia ade masalah dengan Mak Engku. Alah, masalah anak beranak. Biasalah tu.”
NurAlia hanya mengangguk mendengar jawapan dari Bibik Biah. Lantas tangannya laju sahaja mencabut rumput yang mula tumbuh itu. Tanpa dia sedari, ada sepasang mata sedang memerhatinya dari atas.

Tengku Haris mengeluh perlahan. NurAlia yang sedang ralit mencabut rumput di laman itu direnungnya. Otaknya seperti memberinya idea untuk mengatasi masalah yang sedang dia alami.
NurAlia. Mungkin gadis itu boleh membantunya. Tapi, mahukah gadis itu berkorban?  Tengku Haris mengusap janggutnya yang mulai tumbuh itu.

NURALIA melipat sejadah sebaik sahaja dia selesai solat Isyak.  Telefon bimbit yang terletak di meja sisi katil dicapainya. Matanya membulat apabila membuka pesanan ringkas yang dihantar oleh peguam yang dilantik oleh Arwah Mamanya, Encik Hakim Azimin                                                                                                                             .
Slm. I dah cuba sedaya yg mampu utk bantu you menjejaki ayah kandung you. InsyaAllah, minggu depan org suruhan I akn beri maklumat kepada I. I akn maklumkan pada you nanti. I harap you bersabar.’

NurAlia mengeluh perlahan. Telefon bimbit diletakkan dimeja sisi kembali. Dia mengatur langkah untuk ke dapur. Ingin membantu Bibik Biah yang sedang menyediakan makan malam.  Otaknya ligat memikirkan tentang Arwah Mamanya. Didalam hidupnya hanya 2 misteri yang masih belum dapat dirungkaikan olehnya. Encik Hakim yang dikenali sejak kematian Mamanya masih belum dapat menjalankan amanahnya kerana NurAlia masih belum berumahtangga. Pembacaan wasiat hanya akan dilakukan jika NurAlia telah berkahwin. Itu jugalah pesanan Arwah Mamanya sebelum Mamanya pergi.

Sebaik sahaja dia menghidangkan makan malam diruang makan utama banglo, NurAlia terus menghilangkan diri di dapur seperti biasa.  Dia mengisi segelas minuman lalu dia bersandar di dinding dapur sambil memikirkan sesuatu. Rantai dilehernya diusap perlahan.  Ada sesuatu tiba-tiba menyapa fikirannya.  NurAlia mengatur langkah laju menuju ke dalam kamarnya. Apabila pintu biliknya ditolak, dia terus mendapatkan telefon bimbitnya.  Jari jemarinya laju sekali menekan punat di telefon bimbitnya.

“ I rasa I boleh bagi you sedikit maklumat yang mungkin dapat membantu. Boleh kita berjumpa esok?”

Selang beberapa minit sahaja telefon bimbit yang berada ditangan NurAlia berbunyi menanda ada pesanan baru.

“Baiklah, you datang office I pukul 11:00 pagi esok.”

NurAlia mengeluh lega apabila membaca jawapan daripada peguamnya itu.  Hatinya bagaikan teruja untuk berjumpa peguamnya buat kali kedua itu.



BUNGA CINTA HATI EPISOD 20

Episod 20 K ATA-KATA Ammar petang tadi sedikit sebanyak mempengaruhi Dato’ Darwisy.   Berulang kali otaknya mengulangi ka...