27 November 2012

Be Mine, My Maid? Episode 8


Episode 8
Setibanya Tengku Haris dan NurAlia di Kuantan, kereta yang dipandu oleh Tengku Haris dipandu laju masuk ke taman perumahan elit di Bukit Istana.  Beberapa minit sahaja mereka tiba di banglo mewah milik Tengku Jamil dan Engku Maryam. 

NurAlia terpegun melihat banglo mewah milik keluarga Tengku Haris. Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki di banglo itu. Tengku Haris memberhentikan keretanya di porch banglo itu. NurAlia bagaikan kaku disebelahnya.

“Kau ni kenapa?” Tanya Tengku Haris. Hairan.

“Takde apelah Tengku. Saya takutlah nak jumpa Mak Engku.” Ujar NurAlia menahan getar didadanya.

“Kau jangan panggil aku Tengku depan Bonda nanti. Tak payah formal sangat. Saya, awak pun dah cukup. Nanti kalau Bonda tanya apa-apa kau kelentong ajelah. Tapi tak payahlah sampai tak masuk akal pulak.” Terang Tengku Haris panjang lebar. Tengku Haris memandang Engku Maryam yang sudah menunggu mereka di pintu utama banglo itu. Lantas mereka keluar dari perut kereta itu serentak. NurAlia cuba menahan debaran didadanya. Tengku Haris menghampiri Engku Maryam lalu menyalami wanita itu. Begitu juga NurAlia.

“Alia pun ada? Ingatkan anak dara mana tadi Haris bawa balik.” Sapa Engku Maryam ketika NurAlia menyalaminya. Tengku Haris hanya tersenyum.

“Masuklah Lia.”

NurAlia memandang setiap sudut banglo itu dengan rasa kagum. Begitu ekslusif hiasan dalaman banglo itu.
 
“Papa tak balik pejabat lagi ke?” Tanya Tengku Haris.

“Ada kat atas tu. Baru aje balik tadi. Duduk lah Lia. Tak payah nak seganlah.” Ujar Engku Maryam mesra. Tengku Haris ketika itu sudah menghilang. NurAlia melilau segenap ruang tamu itu. Cantik sungguh.

*****
“Kami nak kahwin.” Ringkas sahaja ayat yang keluar dari mulut Tengku Haris ketika mereka sedang minum petang di halaman. Engku Maryam membulatkan matanya memandang anak lelakinya. Begitu juga Tengku Jamil yang duduk disisi Engku Maryam.  NurAlia hanya diam disebelah Tengku Haris.

“Kau ni Haris biar betul? Bonda tak suka kau main-mainkan hal nikah kahwin ni. Abang, tengok anak awak ni.” Bentak Engku Maryam.

Tengku Haris mendengus. Tengku Jamil menggelengkan kepalanya.

“Ris, Papa tak nak Ris ambil mudah hal kahwin ni. Berdosa.” Celah Tengku Jamil.

“Ris tak bergurau Papa, Bonda. Ris dah ambil keputusan untuk ambil Alia sebagai isteri Ris. Dialah perempuan yang Ris cari selama ni. Ris tahu, Ris dah lukakan hati Bonda sebab memilih Sara dulu. Tapi sekarang, hanya Alia yang dapat bahagiakan  Ris, Bonda.” Terang Tengku Haris panjang lebar. NurAlia sedikit pun tidak menyampuk.  Engku Maryam merenung NurAlia yang langsung tidak bersuara itu.

“Bonda dah aturkan perkahwinan kamu dengan adik ipar abang kamu, Ris. Sebab Bonda yakin kamu tidak akan dapat jumpa perempuan lain dalam tempoh yang Bonda tetapkan tu.” Ujar Engku Maryam tegas. Tengku Jamil memandang isterinya.

“Bonda?  Tak adil Bonda buat macam ni. Ris tak kenal siapa adik ipar abang tu. Macammana Bonda nak kahwinkan Ris dengan perempuan tu? Bonda tak fikir kebahagiaan Ris ke?” Bentak Tengku Haris berang.

“Yam, betul cakap Haris tu. Abang tak setuju dengan tindakan Yam ni.” Pujuk Tengku Jamil. Tengku Haris mengeluh perlahan.

“Lagipun tempoh yang Bonda beri pada Ris masih lagi ada. Tak adil Bonda buat macam ni. Unless kalau Ris tak dapat carikan calon isteri Ris dalam waktu yang Bonda tetapkan. Ris tak nak fikir tentang rancangan Bonda tu. Bonda tak adil!” Tengku Haris menahan amarahnya.

Engku Maryam memandang anak lelakinya itu.

“Baiklah, Bonda akan batalkan semuanya dan Bonda terima pilihan kamu ni. Maafkan Bonda Ris, Lia.” Ucap Engku Maryam lembut. Tengku Jamil hanya tersenyum.

“Kita sepatutnya bersyukur dengan pilihan Ris ni Yam. Lagipun Lia ni bukan orang yang kita tak kenal. Papa yakin Lia boleh bahagiakan Ris.” Ujar Tengku Jamil sambil menepuk bahu anaknya itu.

Tengku Haris sempat meminta maaf kepada Engku Maryam kerana ketelanjuran kata-kata sebentar tadi.  Engku Maryam juga telah berjanji untuk membantu segala persiapan perkahwinan mereka.

NurAlia dan Engku Maryam sibuk menyediakan makan malam di dapur manakala Tengku Haris dan Tengku Jamil sedang leka berborak sambil menonton Buletin Utama di ruang tamu. Walaupun NurAlia sedikit kekok dengan majikannya itu, namun dia cuba untuk selesakan diri dengan wanita anggun itu.

*****
Tepat jam 6:30 pagi, NurAlia sudah pun terjaga dari lenanya. Lantas dia bangkit dari katil yang empuk itu lalu dia menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.  Tidak sampai 10 minit NurAlia sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh.

Selesai mengaminkan doa, dia melipat sejadah dan telekung lalu diletak didalam beg kecil yang dibawanya. Rambutnya yang lurus itu disanggul kemas. Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, dia terus mengatur langkah keluar dari bilik itu.

Kakinya diatur kemas menuju ke bahagian dapur basah banglo itu. NurAlia memaniskan wajahnya apabila matanya bertembung dengan pandangan pembantu rumah itu. Ramah sekali pembantu Indonesia itu. NurAlia membantu wanita itu menyediakan sarapan pada pagi itu.

NurAlia mengatur perlahan menuju ke halaman banglo itu.  Dia menyentuh sekuntum bunga mawar yang tumbuh mekar di halaman banglo itu. Satu persatu bunga yang mekar disentuhnya. Hatinya tenang apabila melihat bunga-bunga itu tumbuh dengan segar sekali.

Tiba-tiba ada satu suara yang memanggil namanya. Lantas dia mencari pemilik suara itu.  Tengku Haris yang kemas berpakaian sukan itu dipandangnya.

“Tolong ambilkan air kosong. Cepat!!.” Jerit Tengku Haris.

NurAlia menjeling lelaki itu. Lalu dia berlari anak menuju ke pintu utama banglo itu. Beberapa minit kemudian dia muncul dengan dulang yang berisi segelas air dan tiga keping sandwich.

Tengku Haris yang sedang menumpukan pandangannya pada telefon bimbitnya itu hanya memandang NurAlia sekilas sahaja ketika gadis itu meletakkan dulang itu diatas meja kaca di halaman. Sebaik sahaja dulang itu diletakkan, NurAlia terus ingin menapak menuju ke arah kolam ikan yang terletak berhampiran dengan pintu pagar.  Namun, kakinya kaku apabila namanya dipanggil oleh Tengku Haris yang meminta dia menemani lelaki itu.  Walaupun berat hati, namun dia akur juga dengan permintaan lelaki itu.

“Aku dan Bonda dah bincang semalam. Tentang tarikh nikah kita. Bonda dengan Papa dah setuju nak langsungkan pada pertengahan bulan depan. Aku harap kau bersedia.” Terang Tengku Haris tegas.

NurAlia mengeluh perlahan. ‘Ya Allah, bersediakah aku untuk menempuhi alam baru yang bakal aku lalui nanti?’ Ucapnya didalam hati.

“Tentang persiapan nikah, kau tak perlu risau. Sebab aku akan minta Datin Rohana selesaikan semua.” Ujar Tengku Haris sambil mengunyah sandwich.

NurAlia cuma mengangguk.

“Bila kita nak balik KL?” Tanya NurAlia tiba-tiba.

“Itu aje yang kau fikir Alia? Aku ingatkan dalam kepala kau tu, tengah serabut fikir pasal persiapan kahwin nanti.” Rungut Tengku Haris

NurAlia hanya tersengih mendengar rungutan lelaki itu.

“Lepas lunch nantilah kita balik KL. Dah tak sabar sangat aku tengok kau ni.” Ujar Tengku Haris. Lalu dia mengatur langkah menuju ke pintu utama banglo yang terbuka luas itu. NurAlia mendengus geram. Lalu dia mengemas meja kaca itu dan mengatur langkah ke arah pintu utama.


6 comments:

  1. best la novel ni. tak sabar nak baca episode 9.

    ReplyDelete
  2. Mcm best je crite ni. Pls continue ok.....

    ReplyDelete
  3. citer yg menarik.. teruskan usahan ada.. :)

    ReplyDelete
  4. citer nie best.... tak sabar nak baca episod yang seterusnya... :)

    ReplyDelete
  5. asslammualaikum wbt..... sye ikut cerita saudari nie dri penulisan2u... nasib baik saudari ada blog... terima kasih... bila nak keluarkan eps baru.?

    ReplyDelete
  6. salam alaik... suka cerita ni :) bila nk sambung episod 9 ? :(

    ReplyDelete